Aku mulai menyedari tentang kewujudan Akademi Farose atau Farose Academy semasa menonton rancangan pelancongan Thailand di Youtube sekitar tahun 2015 sehingga tahun 2017. Akademi tersebut memperkenal pembelajaran bahasa Inggeris di Thailand tanpa perlu menghafal secara membabi buta. Sebaliknya, pelajar akan diajar berfikir, menganalisa dan memahami bahasa Inggeris secara spontan. Kelebihan akademi ini adalah ia menerima kaedah pembelajaran bahasa Inggeris yang lebih canggih dan berfikiran terbuka dalam menambah baik mutu persembahan pelajaran kepada pelajarnya.
Akademi ini diasaskan oleh Cik Nat Klinmalee atau dikenali dengan nama panggilannya Farose. Beliau menerima Ijazah Kesusasteraan dari Universiti Chulalongkorn. Seterusnya, beliau melanjutkan pengajian pasca siswazah dalam bidang Linguistik dan Pengajaran Bahasa Inggeris di University of Leeds di United Kingdom. Beliau menghasilkan tesis berkenaan dengan "Pembelajaran Perbendaharaan Kata Bahasa Inggeris dalam Kalangan Kanak-Kanak Thai" yang mana beliau menemui jawapan bagi beberapa masalah yang dihadapi dalam pengajaran bahasa Inggeris di Thailand dari tesis tersebut.
Selanjutnya, Cik Klinmalee menubuhkan Akademi Farose yang memfokuskan kepada perkembangan kurikulum dan kaedah pengajaran bahasa Inggeris di mana semua orang boleh memahami prinsip pembelajaran bahasa Inggeris secara mapan termasuklah kemahiran untuk menjawab peperiksaan bahasa Inggeris yang terkenal. Tahun demi tahun, bentuk peperiksaan bahasa Inggeris pun berubah namun pelajar dari akademi ini mampu mencapai keputusan yang terbaik. Pengajaran di situ mengetengahkan pemahaman berbanding dengan hafalan. Beliau mengumpulkan data selama tujuh tahun mengenai pencapaian pelajar di akademi tersebut sebelum memberikan maklum balas mengenai keberkesanan pengajian bahasa di situ.
- Laman Web Farose Academy, Thailand
- Saluran Farose Channel, Youtube