Jumaat, 2 Oktober 2026

Menghayati Peranan Golongan Profesional Bahasa sempena Hari Penterjemahan Sedunia

Sorotan dalaman terhadap salah seorang jurubahasa PBB
yang sedang bertugas pada hari pembukaan Perbahasan Umum
Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.
Gambar oleh Loey Felipe (2009), PBB New York.

Dunia menyambut "Hari Penterjemahan Sedunia" yang jatuh pada 30 September setiap tahun ini bertujuan untuk memberikan penghormatan kepada usaha golongan profesional bahasa yang memainkan peranan penting dalam menyatukan negara dunia, mempermudah dialog, persefahaman dan kerjasama serta menyumbang kepada pembangunan dan pengukuhan keamanan serta keselamatan dunia.

Penterjemahan karya sastera atau saintifik termasuk karya teknikal daripada satu bahasa ke satu bahasa lain serta kerja penterjemahan profesional seperti penterjemahan, kejurubahasaan dan pengurusan istilah yang sewajarnya, adalah amat penting bagi mengekalkan kejelasan dalam penyampaian ilmu, suasana positif dan produktiviti dalam wacana antarabangsa serta komunikasi antara individu.

Justeru, Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah menerima pakai Resolusi 71/288 pada 24 Mei 2017 mengenai peranan golongan profesional bahasa dalam menghubungkan negara dunia serta memupuk keamanan, persefahaman dan pembangunan. Selanjutnya, ia mengisytiharkan 30 September sebagai "Hari Penterjemahan Sedunia".

Kenapakah tarikh 30 September dipilih sebagai "Hari Penterjemahan Sedunia"? Tarikh ini dipilih bersempena dengan perayaan Saint Jerome, seorang penterjemah kitab Injil yang dianggap sebagai wali keramat penaung bagi para penterjemah. Saint Jerome ialah seorang paderi dari timur laut Itali yang terkenal kerana usahanya menterjemahkan sebahagian besar kitab Injil daripada manuskrip Perjanjian Baru berbahasa Yunani ke dalam bahasa Latin. Selain itu, beliau juga menterjemahkan bahagian Taurat yang berbahasa Ibrani ke dalam bahasa Yunani. Beliau berketurunan Illyria dan bahasa ibunda beliau adalah bahasa Illyria. Beliau mempelajari bahasa Latin di sekolah serta fasih berbahasa Yunani dan berbahasa Ibrani yang dikuasai oleh beliau melalui pengembaraan. Saint Jerome meninggal dunia berhampiran Baitullaham pada 30 September 420 M.

Kepelbagaian Bahasa: Nilai Teras Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu

Bahasa, dengan implikasinya yang kompleks terhadap identiti, komunikasi, integrasi sosial, pendidikan dan pembangunan mempunyai kepentingan strategik bagi penduduk dunia dan bumi.

Wujud kesedaran yang semakin hari semakin meningkat bahawa bahasa memainkan peranan penting bukan saja dalam pembangunan, kepelbagaian budaya dan dialog antara budaya, tetapi juga dalam mencapai pendidikan berkualiti untuk semua, mengukuhkan kerjasama, membina masyarakat berilmu yang inklusif, memelihara warisan budaya serta menggembleng kehendak politik bagi memanfaatkan sains serta teknologi demi pembangunan mapan.

Sebagai faktor penting dalam komunikasi harmoni antara pelbagai bangsa, kepelbagaian bahasa turut dianggap oleh Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu sebagai nilai teras pertubuhan itu. Dengan memupuk semangat toleransi, penggunaan pelbagai bahasa memastikan penyertaan yang berkesan dan menyeluruh daripada semua pihak dalam urusan PBB. Di samping itu, ia meningkatkan lagi keberkesanan, prestasi dan ketelusan pertubuhan. 

Perkhidmatan Penterjemahan di PBB

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) merupakan salah satu majikan terbesar dunia bagi golongan profesional dalam bidang bahasa. Beratus-ratus kakitangan bahasa berkhidmat di pejabat PBB yang terletak di New York, Geneva, Vienna dan Nairobi atau di suruhanjaya serantau PBB di Addis Ababa, Bangkok, Beirut, Geneva dan Santiago. Penterjemah juga merupakan salah satu daripada kategori profesional bahasa bahasa yang diambil bekerja oleh PBB.

Golongan yang pakar di PBB termasuklah seperti berikut:

  • Pembantu penyuntingan dan penerbitan meja (desktop publishing);
  • Penyunting;
  • Jurubahasa;
  • Penulis ringkasan rasmi atau prĂ©cis-writers;
  • Penyunting pengeluaran dan pakar penerbitan meja;
  • Penterjemah; dan
  • Pelapor verbatim.     

Penterjemah PBB mengendalikan pelbagai jenis dokumen, bermula daripada kenyataan Negara Anggota sehinggalah kepada laporan yang disediakan oleh badan-badan pakar. Dokumen yang diterjemahkan mereka merangkumi setiap topik dalam agenda PBB termasuklah hak asasi manusia, keamanan dan keselamatan serta pembangunan. Isu-isu baru muncul setiap hari. Justeru, dokumen PBB dikeluarkan secara serentak dalam enam bahasa rasminya iaitu bahasa Arab, bahasa Cina, bahasa Perancis, bahasa Rusia dan bahasa Sepanyol. Sesetengah dokumen utama turut diterjemah ke dalam bahasa Jerman. Penghasilan dokumen dalam pelbagai bahasa ini dapat dilaksanakan hasil usaha penterjemah PBB yang bertanggungjawab menyampaikan kandungan teks asal ke dalam bahasa utama mereka dengan jelas dan tepat.

Berminat untuk berkhidmat sebagai pakar bahasa di PBB? Sila layari laman web UN Careers untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai peperiksaan kecekapan bagi golongan profesional bahasa.   

Selain itu, rencana ini diterjemahkan oleh aku daripada rencana, "The role of language professionals" dalam laman sesawang Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). 

Ahad, 6 September 2026

Bahasa Esperanto - Bahasa Rekaan untuk Komunikasi Antarabangsa

Louis Lazarus Zamenhof, Pengasas Bahasa Esperanto

Bahasa Esperanto adalah bahasa bantuan yang direka paling banyak sekali dipertuturkan dalam dunia. Ia dicipta oleh L. L. Zamenhof pada tahun 1887 sebagai "Bahasa Antarabangsa" atau "la Lingvo Internacia". Ia diniatkan supaya menjadi bahasa kedua yang sejagat bagi komunikasi antarabangsa.

Budaya Esperanto ini didasarkan pada idea bahawa orang ramai berinteraksi pada paras yang sama merentasi batasan bahasa, tanpa hierarki linguistik dan penghormatan kepada kepelbagaian linguistik serta kebudayaan. Zamenhof menjelaskan dalam "Dr. Esperanto's International Language" yang juga dikenali sebagai Unua Libro, the 'first book' yang diterbitkan di bawah nama samaran Doktoro Esperanto. Penerima awal bahasa ini menyukai nama Esperanto yang bermaksud "seorang yang berharap" jadi mereka menggunakan nama ini bagi memperkenalkannya kepada orang lain.

Aku sedang mempelajari bahasa ini juga untuk melihat bagaimana satu bahasa baru dicipta oleh seorang cendekiawan linguistik. Rujukan boleh dibuat dalam "Nota Bahasa Esperanto".  

Ahad, 8 Februari 2026

Penerbitan Universiti Malaya

 

Penerbitan Universiti Malaya atau The Universiti Malaya Press telah ditubuhkan sejak tahun 1945 sekaligus menjadikannya sebagai penerbitan tertua sekali di Malaysia. Ia diterbitkan di atas premis bahawa menjadi tanggungjawab universiti bukan sahaja untuk mengajar tetapi juga untuk menyebarluaskan ilmu pengetahuan. 

Selasa, 30 September 2025

Pesta Buku UPSI ke-20

 

Masukan kempen ini dibuat tanpa sebarang tajaan, ya. Aku membantu hanya semata-mata untuk membudayakan membaca dalam masyarakat berbahasa Melayu di Brunei, Malaysia, Singapura dan Thailand. 

Untuk makluman, Pesta Buku Universiti Pendidikan Sultan Iskandar (UPSI) ke-20 kembali lagi! Marilah beramai-ramai memeriahkan Pesta Buku UPSI 2025 yang bakal berlangsung dari 15 hingga 18 Oktober 2025 (Rabu - Sabtu) dari jam 9.00 pagi hingga 7.00 malam. Pesta ini bertempat di Dewan SITC, UPSI anjuran bersama Perpustakaan Tengku Bainun dan Pejabat Karang Mengarang UPSI.

Apa yang menarik menanti para pengunjung? Terdapat jualan buku terkini daripada penerbit di seluruh Malaysia. Selain daripada itu, ada juga pelbagai aktiviti menarik dan program yang menyeronokkan seperti:

  • Fun-Tasia Ceria
  • Bicara Nahas Gerik
  • Persembahan Drama Tari
  • Forum: Konflik Keluarga ... Semangat Hidupku Luntur
  • Library Fun Run
  • Fast Track: Becoming A Content Creator
  • Wacana Sasterawan Negara
  • Persembahan oleh D'anson Buskers
  • Night@Library
  • Wacana Pengkisahan Kampung Mogah 

Lagi best, ada juga gerai jualan makanan dan minuman, segmen kuiz dengan hadiah yang menarik serta diskaun yang hebat menanti para pengunjung!

Orang awam dijemput hadir di Pesta Buku ini kerana masuk adalah PERCUMA!

Isnin, 2 Jun 2025

Dewan Bahasa dan Pustaka Terbitkan 771 Judul Buku Bahasa Melayu

Menurut laporan berita Buletin TV3 seksyen Nasional berjudul "DBP terbitkan 771 judul buku bahasa Melayu guna dana PIBN" pada 31 Mei 2025, sebanyak 771 judul buku berbahasa Melayu pelbagai bidang dan genre telah berjaya diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP melalui Dana Penerbitan Inisiatif Buku Negara (PIBN) dengan kos berjumlah kira-kira RM 7 juta.

Dr. Hazami Jahari, Ketua Pengarah DBP berkata bahawa dari Januari hingga Mei 2025 sahaja, sebanyak 80 judul buku telah diluluskan pembiayaannya dengan jumlah dana kira-kira RM 600,000.00. Angka ini boleh dikatakan agak besar juga dalam tempoh lima bulan. Pembiayaan ini sudah pasti memberi manfaat menyeluruh dalam pelbagai peringkat penerbitan, daripada penyelidikan dan penulisan sehinggalah kepada aspek teknikal seperti penyuntingan dan penyediaan ilustrasi.

Dana PIBN ini diwujudkan sebagai satu inisiatif untuk menyokong industri penerbitan buku berbahasa Melayu yang berkualiti serta memperkasa pembangunan kandungan tempatan dalam industri buku negara.

Sebagai urus setia Dana PIBN, DBP memainkan peranan penting dalam usaha merancakkan lagi aktiviti promosi dalam pelbagai lapisan masyarakat. Antara usaha yang diambil oleh DBP adalah seperti berikut:

  • Menjalankan taklimat kepada penerbit dan persatuan;
  • Mengadakan Jerayawara PIBN menerusi penyertaan dalam pelbagai acara perbukuan seperti pesta buku dan himpunan penulis di seluruh negara; dan
  • Menganjurkan kursus percuma berkaitan penulisan dan penerbitan yang disertai oleh penerbit, persatuan dan individu.

Usaha yang dijalankan DBP dalam mempromosi Dana PIBN ini bertujuan untuk memberi kesedaran kepada masyarakat mengenai kewujudannya dan bermatlamat untuk menggalakkan lebih ramai pihak menghantar manuskrip bagi penilaian dan permohonan. Selain itu, urus setia bersedia memberikan khidmat bimbingan dan bantuan melancarkan proses permohonan dana ini.

Urus setia berharap agar dana ini dapat menggalakkan pemain industri penerbitan menerbitkan lebih banyak buku berbahasa Melayu yang berkualiti, seterusnya memperkukuh peranan buku sebagai teras utama dalam pembangunan ilmu dan kemajuan negara. 

Sabtu, 15 Mac 2025

Himpunan Kisah Seram

 


Aku agak obses dengan cerita-cerita seram sejak aku masih remaja lagi. Jadi, aku telah mendengar podcast atau siniar dari pelbagai platform seperti Youtube atau Spotify. Di sini, aku ingin mengambil kesempatan untuk memperkenal saluran kisah seram dari rantau Brunei, Malaysia dan Singapura.

Berikut adalah antara saluran terkenal di platform Youtube yang aku salinkan untuk rujukan aku sendiri bagi penulisan kreatif bergenre seram dalam bahasa Melayu. Kisah-kisah seram disimpan mengikut nama saluran yang terkenal:
  • Alha Alfa
  • Anak Hantoo
  • Anas Rahmat
  • Asshrapp Channel
  • Cengkih Channel
  • Imeelulubee
  • Mak Leha Story
  • Qamarina Hassim
  • React87
  • Safwan Nazri Podcast
  • Santai Chill
  • Sharul Chapters
  • Si Tukang Cerita
  • The Segment
Gambar hiasan di atas dipetik dari hasil fotografi Yevgeni Kacnelson dalam rencana "Happy Halloween: Scary Stories in the New Yorker" terbitan Culture Desk di portal the New Yorker pada 30 Oktober 2018. 

Isnin, 27 Januari 2025

Jualan Gudang Karangkraf 2025


Penerbitan Karangkraf kembali lagi dengan Jualan Gudang nya pada:

                                    Tarikh: 24 Januari 2025 hingga 2 Februari 2025
                                    Waktu: 9.00 pagi hingga 7.00 malam
                                    Lokasi: Kumpulan Media Karangkraf, Seksyen 15, Shah Alam

Apa yang menarik di Jualan Gudang Karangkraf 2025 kali ini?
  • Buku serendah RM 5.00
  • Buku pelbagai genre dan kategori seperti agama, motivasi, pendidikan dan kanak-kanak
  • Cabutan bertuah dan hadiah yang menarik sepanjang acara berlangsung
  • Trak makanan dan gerai makanan disediakan untuk para pengunjung yang datang membeli belah sambil menjamu selera
Sila layari laman sesawang Kumpulan Media Karangkraf atau ikuti berita berkaitan dengan kempen di media sosial rasmi Kumpulan Media Karangkraf seperti di Facebook, Instagram dan X. Liputan ini adalah kempen percuma untuk menyokong industri penerbitan tempatan di Malaysia. Selamat membaca!