Definisi bahasa sebagai alat komunikasi ini memandang bahawa bahasa adalah satu sistem komunikasi yang membolehkan manusia bertukar-tukar ucapan lisan dan perlambangan. Definisi ini menekankan fungsi sosial bahasa dan fakta bahawa manusia menggunakannya bagi mengungkapkan diri mereka dan memperguna objek dalam persekitaran mereka.
Teori kepenggunaan tatabahasa menjelaskan struktur tatabahasa melalui fungsi komunikatif, dan memahami struktur tatabahasa bagi sesuatu bahasa itu sebagai hasil dari proses penyesuaian yang mana tatabahasa itu direka bagi memenuhi keperluan komunikatif pengguna bahasa itu sendiri.
Pandangan ini dikaitkan dengan pengajian bahasa dari segi kerangka pragmatik, kognitif, dan interaktif. Selain itu, ia turut berkait dnegan bidang sosiolinguistik dan antropologi linguistik. Teori kepenggunaan ini cenderung untuk mengkaji tatabahasa sebagai fenomena yang dinamik, sebagai struktur yang akan sentiasa berevolusi apabila ia digunakan oleh penuturnya.
Seterusnya, pandangan ini menekankan kepentingan pengajian tipologi linguistik, atau klasifikasi bahasa mengikut ciri strukturnya seperti yang boleh ditunjukkan, bahawa proses penyusunan tatabahasa itu cenderung mengikut cakahan yang menjadi sebahagian daripada tipologi bahasa. Dalam falsafah bahasa, pandangan pragmatik menjadi tonggak utama bahasa dan makna selalunya dikaitkan dengan karya Wittgenstein yang terkemudian serta ahli falsafah bahasa biasa seperti J.L. Austin, Paul Grice, John Searle, dan W.O. Quine.