Teks Sumber: Kisah Seram di Pejabat

Pengalaman Seram Aza

Anda selalu tak diganggu jika bekerja lewat malam di pejabat??? Ini pengalaman aku sendiri. Kami selalu terpaksa bekerja lebih masa di pejabat. Kadang-kadang, kami terpaksa bekerja sehingga lewat malam antara jam 10 sehingga jam 12 tengah malam. Selepas itu baru lah pekerjaan lebih masa kami berakhir dan kami keluar dari pejabat.

Aku selalu mendengar cerita di sekeliling bahawa pejabat aku itu ada hantu. Aku sebenarnya mempercayai hal tersebut tetapi aku malas untuk melayan hal-hal tersebut. Pada suatu hari, semasa aku sedang asyik bekerja, teman sepejabat mengajak aku untuk menemaninya ke tanda. Disebabkan dia takut untuk ke tandas berseorangan, maka aku pun menemaninya. Semasa berada di tandas, aku terdengar bunyi troli bagaikan ditolak oleh seseorang di luar tandas. Aku dapat mendengarnya dengan jelas. Namun aku hanya membatukan diri sahaja. Aku tidak mahu berfikir bukan-bukan. Aku fikir bahawa pasti ada orang sedang membawa barang. Beberapa minit kemudian, teman sepejabat aku pun keluar dari tandas dan kami berjalan untuk pulang ke pejabat. Aku dapati bahawa tiada sesiapa pun di luar. Aku mula berasa sedikit keliru...

Aku menoleh merenung wajah teman sepejabat ku di meja dalam pejabat kami. Dia pun tergamam melihat aku lantas bertanya. "Eh, tadi engkau dengar kan ada orang tolak troli di luar?" Aku hanya mengangguk mengiyakannya tanpa sepatah pun suara. Kami cuma berpura-pura seperti tiada sesuatu pun yang berlaku lalu menyambung kerja-kerja kami. Beberapa minit kemudian, kami mendengar bunyi orang berlari pula dalam pejabat. "Aduh, aku tak ingin melihat pun perkara-perkara yang pelik!" Getus hati ku. Aku berpura-pura seperti tidak mendengar sebarang bunyi pun. Benda itu menjadi semakin berani dan bermain kerusi pula. Aku dapat melihat sendiri kerusi di meja-meja pejabat berpusing dan berbunyi. "Huh, sebiji macam dalam cerita seram di televisyen!!" Aku dan teman pejabat pun apa lagi, kami perlahan-lahan menggapai barang-barang kami... selepas itu berlari lintang pukang dari pejabat!

Perkara yang lebih menyeramkan lagi berlaku, apabila pintu pejabat pula bergerak-gerak. Aku dan teman pejabat sudah pucat lesi. Kami terfikir, mungkin benda itu ingin mempermain kami. Kami terus berlari ke lif. Tetapi, sebelum kami menekan punat lif... Ia menyala dengan sendiri seperti ditekan orang. Kami hanya mampu berdoa supaya jangan ada sebarang benda pelik yang keluar dari lif sekiranya pintu lif terbuka. Pintu lif pun terbuka selepas beberapa minit. Dengan mulut kami terkumat-kamit membaca doa, kami pun memasuki lif dan sampai dengan selamatnya ke lobi tingkat bawah. "Fuh, selamat jugak!!!" Terasa lega apabila kami tidak diganggu oleh "benda" itu semasa berada di dalam lif.

Walaupun kejadian seram sebegini menimpa kami, namun kami masih lagi gila bekerja. Walaupun diganggu oleh entiti yang tidak kelihatan, namun kami masih bekerja sehingga lewat malam. Mungkin "mereka" marah kerana kami mengganggu "mereka" pada waktu mereka sedang bekerja, huhu.