Oleh Haiza Najwa, Sinar Harian
3 Sep 2012
Trend novel atau buku cerita berunsur lucah agak menular sekitar 70-an, namun ia dapat dibendung selari era kebangkitan dakwah Islam sekitar 80-an.Jika sebelumnya, novel berunsur seks boleh didapati dengan mudah dan dijual secara terbuka namun, selepas kebangkitan gerakan dakwah dan pantauan serius pihak berkuasa, aktiviti pengedaran dan penerbitan bahan bacaan novel lucah berjaya dibanteras. Rentetan dari sekatan itu, bahan bacaan ini kemudiannya hanya boleh didapati secara tersembunyi.
Bagaimanapun, penebitan novel cinta bersalut erotik dan menceritakan babak serta dialog lucah secara terbuka kekal berada dalam pasaran. Kebelakangan ini, novel sebegitu kembali boleh didapati secara mudah di rak-rak kedai menjual majalah. Adakah kita terlepas pandangan dengan kemunculannya atau mungkinkah masyarakat semakin terbuka dan menganggapnya biasa? Atau apa munkin berlakunya hal ini kerana terdapat pengkarya yang beranggapan bahawa seni itu bersifat bebas dan tidak terkecuali seni dalam penulisan.
Persoalannya, mengapa perlu lucah dan pentingkah pendekatan sebegini? Apakah keperluannya adegan dalam kelambu diterjemahkan menerusi imaginasi pembacaan? Sejak bila keghairahan, mencarut dan erotis menjadi trend kebiasaan dalam hidup kita?
Rakyat Malaysia disuruh banyak membaca pelbagai jenis buku, maka tidak ada dosa membaca novel. Tetapi kalau sudah banyak yang lucah, sudah pasti ia mengundang dosa.
Di saat inilah hubung kait antara penulis, penerbit dan pembeli perlu difikirkan. Hayati senarionya jauh-jauh dan betapa ketegasan premis yang menjual novel, sangat diperlukan. Mungkin boleh dijadikan teladan terhadap kejadian awal bulan lalu. Sebuah syarikat telah menolak dua novel yang mana penerbitnya kini sedang mengumpulkan peminat melalui novel-novel yang diterbitkan.
Penolakan itu dengan alasan kandungan kata-kata kesat dan novel-novel tersebut tidak elok untuk masyarakat khusunya remaja. Syarikat berkenaan begitu tegas mahukan bahan bacana berilmiah supaya bersama-sama dapat mendidik anak bangsa. Lebih penting untuk dijadikan teladan, apabila pembeli berkenaan turut menyebut kesibukan ibu bapa diambil kira dalam dunia buku. Kerana bahan bacaan yang baik boleh membantu pembentukan akhlak anak-anak. Bukan pada novel tidak elok yang dipercayai boleh merosakkan jati diri generasi muda.
Ironinya, daripada emel itu, telah memacu Bicara Isnin untuk membicarakan hal ini. Penasihat Eksekutif Editorial Kumpulan Media Karangkraf, Datuk Abd Jalil Ali berpendapat, unsur seks dan kelucahan dalam novel bukan lagi daya penarik utama pembaca masa kini. "Mungkin 30 atau 40 tahun dulu pembaca, termasuk saya, suka cerita lucah. Ketika itu muncul banyak novel lucah, sekarang tidak seperti dulu lagi," katanya yang juga penulis skrip, novelis dan kolumnis. Katanya, pembaca sekarang tidak kira remaja atau dewasa telah lebih matang dan memilih novel yang kandungan juga jalan ceritanya lebih bernas dan boleh membentuk minda.
"Pembaca sekarang lebih berpendidikan dan memiliki nilai-nilai murni keagamaan, mereka tidak lagi tertarik dengan seks dan kelucahan yang dianggap sebagai picisan. Memang mereka masih sukakan cerita-cerita cinta, tetapi menolak seks," katanya.
Abd Jalil berpendapat perubahan trend dan cita rasa peminat novel sekarang banyak didorong oleh sikap penerbit dan penggerak utama industri perbukuan lebih prihatin dan tidak semata-mata mementingkan keuntungan.
Penerbit tersohor, termasuk Alaf 21, Buku Prima, PTS, Telaga Biru dan beberapa lagi, kini berlumba mengisi pasaran dengan bahan-bahan bermutu, dan tidak menjadikan seks dan kelucahan sebagai menu utama pembaca.
"Memang masih ada satu dua penerbit yang menjaja seks, kelucahan dan kontroversi, tetapi ternyata sebahagian besar pembaca kita sudah tidak lagi tertarik dengan bahan sebegitu".
"Kalau kita tengok mana-mana pesta buku, orang berebut membeli buku dan novel yang isinya menarik, berilmu dan mengetepikan kelucahan. Orang malu untuk membawa novel lucah," katanya.
Bercakap berdasarkan pengalaman, Abd Jalil berkata, beliau menulis banyak novel dan buku bacaan umum, tanpa unsur seks dan lucah, tetapi masih mendapat sambutan hangat dari orang ramai.
“Dunia pembacaan kita sudah berubah, zaman menjual seks dan kelucahan sudah berakhir. Saya yakin penggiat industri perbukuan sudah menerima ini sebagai satu kenyataan dan ini satu perkembangan yang amat sihat,” katanya.
Pandangan penulis
"Pada pandangan saya, isu kelucahan dalam sesetengah novel adalah subjektif. Ia bergantung kepada cara penulisan seseorang penulis dalam menghasilkan karya ketika menggambarkan sesuatu situasi sama ada mahu ia kelihatan nyata atau tidak. Biasanya isu kelucahan ini boleh terjadi disebabkan penulis ghairah untuk menerangkan secara menyeluruh tentang plot yang ditulis. Namun, setiap penulis mempunyai gaya penulisan tersendiri. Justeru hanya sebahagiannya yang gemar begitu.
"Saya kurang bersetuju dengan pendapat bahawa pendekatan unsur lucah adalah perkara normal untuk melahirkan perasaan. Jika tidak ditangani dengan betul, unsur ini boleh merosakkan pemikiran pembaca. Seharusnya setiap penulis mengawal cara penulisan kerana karya yang dihasilkan adalah untuk memberi pengajaran dan mendidik. Jika unsur lucah ini berterusan, ramai pembaca boleh terjerumus dalam masalah sosial memandangkan unsur kelucahan boleh mempengaruhi pemikiran pembaca ke arah perkara negatif.
"Saya mengakui kejujuran itu penting dalam seni tetapi haruslah berpada-pada. Apa-apapun, ia bergantung juga kepada kelompok pembaca yang membaca karya penulis tersebut. Bagi saya, kelompok yang membaca karya saya terdiri daripada pelbagai golongan tua dan muda. Maka, saya sedaya upaya menolak unsur lucah ini kerana mahu pembaca menghormati karya saya. Alhamdulillah, setakat ni tanpa pendekatan unsur lucah, karya saya dapat diterima," - Damya Hanna
"Isu kelucahan dalam sesetengah novel ini semakin berleluasa dan ianya perlu dibendung supaya tidak merosakkan budaya membaca terutamanya kepada golongan muda. Hakikat sebenarnya, novel sebegini memang mendapat sambutan di kalangan sesetengah penggemar novel tetapi bagi saya, isu kelucahan tidak sepatutnya menjadi subjek utama dalam menghasilkan sesebuah karya. Setiap karya sebenarnya melambangkan identiti seseorang penulis itu sendiri. Pembaca hanya membaca novel yang mereka miliki tetapi sewajarnya dari awal lagi ianya menjadi tanggungjawab penulis untuk membentuk karya tersebut. Sejak dulu lagi, isu sebegini memang ada tetapi tidak terlalu dititik beratkan kerana pasaran novel belum luas seperti sekarang. Namun, bila bahan bacaan yang mengandungi isu kelucahan mula berlambak di pasaran, ia boleh menjadi sebuah perkara yang merisaukan masyarakat.
"Ada pelbagai cara untuk menzahirkan perasaan dalam bentuk coretan ayat. Penulis boleh menggunakan bahasa yang lebih indah atau berlapik dengan susunan ayat yang lebih berisi untuk menggambarkan perasaan sesebuah watak itu. Menulis dengan menggunakan pendekatan lucah hanya menambahkan bahaya kepada pembaca terutamanya kepada golongan muda. Penulis sendiri perlu ingat, apa sebenarnya niat mereka ketika menghasilkan karya. Sejujurnya, memang objektif utama adalah sebagai mata pencarian tetapi untuk penulis yang beragama Islam, kita perlu ingat bahawa setiap ayat yang kita ciptakan itu dibaca oleh beribu-ribu orang yang lain dan lebih penting lagi, segala yang kita lakukan itu akan ditanya di akhirat kelak. Jika karya kita boleh menjadikan masyarakat lebih baik dan berilmu, itu semestinya perkara yang menggembirakan. Namun, apa pula yang akan kita jawab nanti jika karya kita dipenuhi dengan perkara yang tidak elok dan lebih teruk jika ia mendatangkan kemudaratan kepada masyarakat?
"Sememangnya tempias isu kelucahan dalam novel akan terkena kepada semua yang bergelar penulis novel. Jika golongan pembaca mahukan unsur karya yang lebih berani (daring), sudah tentu ianya akan menjejaskan periuk nasi penulis lain yang lebih mementingkan kualiti karyanya. Namun begitu, ianya semua bergantung kepada rezeki penulis. Kadang-kala novel tersebut tiada langsung membabitkan isu-isu yang tidak elok tetapi kerana rezeki telah tertulis kepadanya, karya tetap mendapat sambutan memberangsangkan. Penulis yang benar-benar jujur dengan karyanya pula tidak seharusnya menjadikan isu kelucahan novel-novel lain sebagai gangguan penumpuan untuk menghasilkan karya-karya mereka seterusnya.
"Jika gejala isu kelucahan ini tidak dibendung, ianya bakal menjadi fenomena yang merisaukan dunia penulisan dan mencacatkan keindahan bahasa serta ilmu yang terkandung dalam sesebuah novel tersebut. Penulis yang mahu berkarya secara jujur untuk mengembangkan dunia seni penulisan akan lebih berhati-hati dengan setiap apa yang ditintakannya. Tidak salah untuk penulis mempelbagaikan genre ataupun corak penulisan mereka, tetapi yang lebih penting adalah bagaimana cara untuk menjaga tatasusila bahasa dan budaya masyarakat Malaysia supaya tidak terkeluar dari landasan sebenar. Banyak cara untuk mengekang perkara ini daripada menjadi sebuah trend tetapi semuanya bergantung kepada kesedaran penulis novel tersebut dan pembaca di luar sana. Selain itu, pihak penerbitan juga antara yang terpenting untuk menjadi lebih tegas dalam soal ini supaya karya yang dikeluarkan adalah berkualiti. Dunia penulisan adalah sebuah dunia yang luas, boleh dicorakkan dengan pelbagai jenis ayat tetapi jika tidak kena lorekannya, dunia tersebut pasti akan menjadi cacat cela dan seluruh isi dunia itu akan terbabit sama," - Weeda Airiza
"Inti pati sebuah novel memainkan peranan sama ada naskhah karya itu akan terus dibaca, ditutup atau diulang berkali-kali sehingga lunyai. Kini, isu kelucahan begitu hangat diperkatakan kerana novel seperti ini menjadi lambakan kepada anak remaja kita di dalam pasaran yang terbuka. Golongan remaja kita menjadi teruja dan menghebahkannya kepada kawan-kawan mereka yang lainnya hingga menyebabkan novel yang bercirikan sebegini menjadi hangat dan laris di pasaran.
"Apabila penawaran wujud, permintaan semakin meningkat dan dipengaruhi pula faktor editor atau penerbit yang mementingkan keuntungan semata-mata maka isu kelucahan semakin menjadi-jadi di dalam bahan bacaan anak remaja kita. Sesuatu yang merbahaya dan menambah perisa untuk keruntuhan moral yang semakin meruncing.
"Jangan sesekali memperlekehkan kuasa bahan bacaan. Jika isu ini dibiarkan, suatu hari nanti kita juga yang akan duduk ternganga melihat anak remaja kita hancur adab dan pegangan imannya. Waktu itu siapa yang mahu disalahkan? Bagi saya, penulis mempunyai tanggungjawab. mahu tidak mahu, tanggungjawab itu digalas kerana setiap patah aksara kata yang mereka ciptakan akan membuai hati dan merasuk minda anak remaja kita yang masih hijau dalam menilai baik buruknya sesuatu perkara.
"Saya percaya pada rezeki daripada ALLAH SWT. Jika anda menulis beresepikan isu kelucahan, mendapat royalti yang banyak dan meraih populariti tetapi naluri haru biru dan akan menerima seksa dan balasan di akhirat kelak, maka saya memilih biarlah saya menjadi penulis yang biasa-biasa saja. Bagi saya, rezeki begini tidak lama. Ikhlas menulis, berlandaskan pegangan kita, Insya-Allah rezeki dari ALLAH terbentang luas untuk semua.
"Ibu bapa dan masyarakat perlu mengambil peranan. Semak dan pantau bahan bacaan anak remaja anda. Janganlah setakat menghulur wang dan merasa lega apabila mereka memberitahu mahukan wang untuk membeli buku. Isi bahan bacaan perlu diambil kira. Guru-guru boleh memberikan panduan, senarai bahan bacaan yang bersesuaian untuk anak murid mereka. Buka mata, tengok novel apa yang ada di rak bacaan anak remaja kita. Jika tidak mampu membaca seluruh novel, selaklah beberapa muka. Ambil tahu. Jangan jadikan trend yang merosakkan masa depan mereka," - Lynn Dayana
"Buku lucah atau spesifiknya novel lucah memang sudah lama wujud. Malah, lambakan bahan lucah di pasaran bukan lagi isu baru. Bahan-bahan yang boleh diibaratkan hampas seni kreatif ini sudah lama dijual secara berleluasa terutama di gerai-gerai yang menjual majalah dan surat khabar-surat khabar. Target para peniaga ini ialah para pelajar sekolah. Kerana selain mereka ini mudah teruja dan ketagih, para pelajar sekarang juga dibekalkan dengan wang saku yang banyak. Cuma sejak kebelakangan ini, elemen tersebut mulai menjadi virus dalam novel-novel biasa dan keberanian segelintir penulis yang menyuntik virus ini ke dalam novel-novel mereka pada saya tidak boleh dimaafkan sama sekali.
"Perbuatan ini pada saya bukanlah sesuatu yang boleh dikira normal malah ianya menyalahi idealisme penulisan itu sendiri. Apa yang saya tahu, hasil sastera terutama sastera kreatif haruslah berfungsi sebagai mekanisme yang menjalankan tugas sebagai agen tazkiyah yang mampu membentuk jiwa murni ke dalam diri pembaca. Jangan kita sangka institusi formal seperti gedung-gedung ilmu dari yang rendah hingga setinggi-tingginya dan institusi keluarga sudah cukup lengkap dalam membentuk akhlak masyarakat di mana sebahagian besar merupakan para pembaca.
Pernah beberapa orang pembaca mengulas sebuah buku saya dan mengakui mereka menjadikan buku saya sebagai dimensi buat eskapisme keadaan hidup yang mendera. Mereka merasa puas apabila membaca novel tersebut dan menjadikannya motivasi. Setiap kata-kata yang saya coretkan membekas hingga ke lubuk jiwa. Adakala pengaruh ini amat menakutkan saya. Lalu saya terfikir apa kesannya jika elemen lucah dimasukkan ke dalam novel-novel roman seperti ini? Hendak mengikut trend di Barat? Sudah cukup dengan gejala sosial yang tidak terkawal di sekeliling kita dan sudah jadi kewajiban bagi para penulis membanteras apa yang termampu menggunakan mata pena kita yang tajam. Bukan memusnahkannya dengan menjadikan krisis moral ini lebih teruk lagi. Jangan menulis bermotifkan keuntungan dan populariti semata-mata tanpa menghiraukan bahawa, tulisan dan cerita yang disajikan bercanggah dan menyimpang dari nilai-nilai keagamaan dan budaya masyarakat. Sejujurnya, tidak banyak kesan pada penulis yang berkarya secara jujur kerana mereka ini memang sudah ada kelompok penggemarnya sendiri. Kalau adapun kesannya mungkin kesan bermusim.
"Sebagai langkah untuk membanteras kegiatan yang tidak bermoral ini, setiap penulisan haruslah berorientasikan syarak yang mana ia harus meliputi aspek-aspek moral, spiritual dan material. Dalam keghairahan mengejar pulangan keuntungan, usahlah sesekali alpa akan peri pentingnya peranan dan pemupukan nilai murni buat masyarakat pembaca. Moral yang baik adalah pengukur kepada kemajuan justeru itu, prinsip ini harus dijadikan agenda utama setiap penulis dan penerbit. Ia juga perlu kesepaduan usaha dari semua pihak. Terutama kerajaan dan para penerbit. Dalam pada itu, aktiviti-aktiviti penerbitan harus dipantau. Hukuman haruslah lebih keras untuk penggiat sastera lucah dan harus ada satu standard dalam penapisan setiap bahan bacaan,"
Sumber: Sinar Harian
Sumber: Sinar Harian