Ini merupakan pengalaman kali pertama saya berkongsi di sini. Sebenarnya, ia bukanlah pengalaman saya sendiri. Sebaliknya, ia adalah pengalaman sepupu saya.
Dalam kalender keagamaan Hindu, kami mempunyai satu hari yang digelar sebagai Kali Chaudas. Ia berterusan selepas hari kami merayakan tahun baru Hindu. Hal ini bolehlah dibandingkan dengan hari Halloween dalam masyarakat Barat. Kecuali kami tidak memberikan gula-gula kepada kanak-kanak serta ia lebih gelap jika dibandingkan dengan perayaan di Barat.
Di negara India, terdapat satu kelompok masyarakat yang mengamalkan ajaran Tantra. Mereka ini dipercayai menghalau hantu walaupun mereka sendiri pun sebenarnya kelihatan menakutkan. Oleh itu, hari Kali Chaudas pada ketika itu memberikan pengalaman yang pelik kepada kami. Pada masa itu, saya mungkin berusia dua tahun. Kakak sepupu saya pula tua empat tahun daripada saya. Usianya ketika itu adalah enam tahun, Ketika itu, kami merayakan tahun baru di rumah sepupu saya.
Pada malam Kali Chaudas, kelompok pengamal tantra ini sering berkeliaran. Salah seorang daripada tantri yang berkeliaran itu berada di luar rumah kakak sepupu saya. Kami sudah terbiasa dengan keadaan itu. Maka, kami pun tidak mengendahkan hal itu. Namun, tantri itu kemudiannya berdiri di hadapan pintu rumah. Kami semua cuma buat bodoh sahaja. Kakak sepupu saya melihat ke arah lelaki tersebut. Tiba-tiba dia menjerit sekuat hatinya. Lelaki itu pun berlalu pergi dari situ.
Yang peliknya, kakak sepupu saya berlari-lari anak pula mengejar tantri itu. Semua orang di rumah cuba menghalangnya daripada mengikut tantri itu namun gagal. Kakak sepupu kelihatan seolah-olah tidak mendengar suara orang di sekelilingnya. Dia hanya berkata, "saya kena pergi!" Selain itu, dia juga nampak lebih kuat daripada biasa. Sukar sekali untuk menghalangnya walaupun empat orang dewasa di rumah menghalangnya. Ibu bapa kami berjaya juga menahannya. Mereka menyuruhnya duduk. Tetapi dia masih lagi berkata, "saya kena pergi!" Dia enggan makan mahupun minum. Dia tidak kenal langsung kami. Dia hanya mengulangi ayat itu sahaja, "saya kena pergi!"
Petang itu, kakak sepupu dibawa bertemu dengan seorang Sadhu. Sadhu memberitahu bahawa kakak sepupu dirasuk atau disumpah oleh tantri, Sadhu meminta ibu bapa kakak sepupu mengikat rantai dari benang suci di lehernya. Di samping itu, dia diberikan juga bekalan air suci untuk diminum selama beberapa hari. Selepas beberapa hari, barulah kakak sepupu pulih semula.
Sehingga hari ini pun, kakak sepupu saya trauma dengan hari Kali Chaudas. Dia juga tidak berani bertentangan mata dengan tantri lagi. Jika sesiapa mengetahui mengenai ilmu hitam, tolonglah beritahu saya. Kenapakah kakak sepupu saya jadi begitu?
Maklumat Teks
- Bahasa Sumber: Bahasa Inggeris
- Bahasa Sasaran: Bahasa Melayu
- Penulis: Verleus (nama samaran)
- Tarikh Teks: 2 Mac 2009
- Penterjemah: Mohd Tan'im Tajuddin
- Platform: Your Ghost Stories - Publish Your Paranormal Experience (online)
- Gambar: Abhilash Rajendran, Krtyta in Hinduism Associated with Black Magic and Witchcraft, Hindu Blog, 1 Nov 2018 (online)
