Oleh Hafizah Iszahanid
Saya menulis Nyanyi Sunyi, Salam Maria VS Sarjana Nasi Dingin (2007)
sebagai menjawab kritikan Prof Dr Ungku Maimunah Mohd Tahir sebanyak
lima kali terhadap Salam Maria. Kritikan balas jenuh saya hantar ke
media, tetapi tidak disiarkan.
"Lalu dengan kos
RM11,000 saya terbitkan sendiri kerana mahukan keadilan terhadap Salam
Maria yang dianggap sebagai karya menghina Islam di mata Prof Ungku
Maimunah, sedangkan bagi saya sarjana terbabit tidak dapat menafsir apa
yang tersirat dan tersurat di sebalik naskhah itu," katanya.
Dr
Fatimah yang kecewa dengan syarikat yang menerbitkan Salam Maria kerana
meskipun novel itu mendapat publisiti meluas, namun hingga kini tiada
sesen pun bayaran honoroium yang diterima dan lebih teruk lagi, penerbit
itu kini tidak dapat lagi dihubungi.
"Anehnya, saya
diberitahu oleh pengedar, syarikat penerbitan itu sudah menerima
sejumlah cek yang lumayan daripada mereka, malangnya ia tidak diagihkan
kepada saya. Baki novel Salam Maria saya ambil semula dan jual sendiri.
Alhamdulillah terubat sedikit kedukaan hati atas tragedi ini," katanya.
Dr
Fatimah mengakui buku serius sukar dijual kalau diterbitkan sendiri,
jika dihantar kepada syarikat penerbitan, mereka pula meletakkan
pelbagai syarat misalnya panjangkan lagi isinya, diubah isi kandungan
dan mungkin tajuk.
"Saya tidak sanggup begitu. Misalnya
kajian tesis Ijazah Doktor Falsafah (PhD) saya mengenai novel Malaysia
dan Indonesia dikenakan pelbagai syarat oleh sebuah syarikat penerbitan.
Saya akhirnya terbitkan sendiri pada 2010, meskipun tidak pulang modal,
tapi saya puas hati," katanya.
Novelis Aina Emir pula
berpendapat isu untung atau tidak menerbitkan karya sendiri sangat
subjektif kerana beliau yakin kalau rezeki itu bukan milik seseorang
itu, ia tetap tidak menjadi miliknya biarpun siapa juga yang
menerbitkannya.
Penulis perlu jelas mengapa dia mahu
meninggalkan syarikat yang menaunginya dan menerbitkan karya sendiri
kerana jika isunya naskhah tidak laku, mungkin apa yang ditulis tidak
menepati selera pembaca.
"Kalau ia membabitkan soal
pembayaran atau rasa tidak bahagia dengan sesebuah penerbit, mungkin
penulis boleh memikirkan untuk menerbitkan karya sendiri, tetapi mereka
perlu kuat semangat untuk berhadapan dengan risiko yang besar.
"Selain
modal pusingan yang besar, isu pemasaran dan pengedaran perlu diambil
kira. Kalau di syarikat besar, kita tidak perlu fikir soal itu. Namun
kalau sudah terbitkan karya sendiri hendak tak hendak kita perlu turun
padang.
"Pengedar bukan semuanya jujur, ada yang suka
bermuslihat. Ada pengedar yang juga menerbitkan novel dan bagaimana kita
hendak minta mereka edarkan novel kita? Jawapan paling mudah, mereka
akan kata novel kita tidak boleh jual sedangkan dia peruk dalam stor dan
akhirnya kita rugi," jelasnya.
Lalu sama ada terbitkan
sendiri atau dengan syarikat, segala-galanya bergantung kepada rezeki
kerana ada penulis berjaya dengan syarikat besar, tetapi gagal apabila
menerbitkan sendiri dan begitu juga sebaliknya.
"Untuk
saya, kalau syarikat besar itu boleh menjaga penulis sebaiknya, mengapa
perlu penulis keluar daripada situ? Lagipun kena pastikan nama penulis
sudah `berjenama' jika mahu terbitkan sendiri. Memasarkan buku bukan
mudah apalagi kalau kita bukan sesiapa," ujarnya.
Ketua
Editor Buku Prima, Mohd Ali Mohd Noor pula berpendapat, jika penulis
memiliki modal yang besar tidak salah untuk menerbitkan sendiri kerana
menerbitkan karya sendiri penulis perlu juga memikirkan wang pendahuluan
yang banyak.
"Bukan kos untuk mencetak, tetapi juga
untuk susun atur, kulit hadapan, urusan pasaran dan publisiti juga. Jika
penulis menulis dan mengedit, tanpa khidmat editor, lazimnya karyanya
akan berjela lagi meleret hingga pembaca bosan," katanya.
Mohd
Ali mendedahkan, ramai penulis yang mencipta nama di Buku Prima dan
Alaf 21 mengambil keputusan menerbitkan karya sendiri atas pelbagai
faktor, tetapi novel mereka tidak laris dan berkemungkinan kerana
kurangnya publisiti.
"Nama penulis sebagai jenama pun
sangat penting. Misalnya novelis Sharifah Abu Salem kalau dia mahu
terbitkan sendiri, pasti tiada masalah kerana namanya sudah gah.
Novelnya laris, didramakan dan dia miliki ribuan pengikut," ujarnya.
(Berita Harian, 28 September 2011, ms 14, Sastera), (samb)