Sejumlah ciri yang kebanyakannya telah dijelaskan oleh Charles Hockett dan disebut sebagai ciri reka bentuk, membezakan bahasa manusia daripada komunikasi yang digunakan oleh haiwan.
Sistem komunikasi yang digunakan oleh haiwan dan serangga contohnya seperti lebah atau beruk adalah sistem tertutup yang terbatas serta bilangan buah fikiran yang mungkin boleh diungkapkan itu juga terhad. Berbeza dengan bahasa manusia yang terbuka dan produktif atau dalam lain perkataannya ia membenarkan manusia menghasilkan pelbagai jenis ucapan dari satu set elemen terbatas sehingga kepada mencipta perkataan atau ayat baru.
Hal ini mungkin kerana bahasa manusia didasarkan atas dwi kod yang mana sejumlah elemen yang tidak mempunyai makna seperti bunyi, huruf atau isyarat boleh digabungkan bagi membentuk unit maksud yang tidak terbatas atau perkataan serta ayat. Walau bagaimanapun, satu kajian menunjukkan bahawa chestnut-crowned babbler, iaitu sejenis burung di Australia mampu menggunakan elemen akustik yang sama dalam susunan yang berbeza bagi mencetuskan dua jenis suara yang berfungsi secara berbeza. Tambahan lagi, burung pied babbler juga menunjukkan kemampuan untuk menjana suara dwi-fungsi yang digubah dari jenis bunyi yang sama yang mana ia hanya boleh dibezakan oleh jumlah elemen yang diulang.
Sesetengah spesis haiwan juga dibuktikan mampu membentuk komunikasi menerusi pengalaman sosial mereka. Contohnya, seekor kera bonobo bernama Kanzi belajar mengungkapkan dirinya dengan menggunakan satu set pelambangan leksigram. Begitu juga dengan banyak jenis spesis burung dan ikan paus yang mempelajari bunyi dengan meniru ahli kelompok spesisnya yang lain. Walau bagaimanapun, dalam pada sesetengah haiwan itu memperolehi perkataan dan lambang dalam jumlah yang besar, namun tiada seekor pun yang mampu belajar pelambangan berbeza sebanyak yang dipelajari oleh kanak-kanak manusia yang berumur empat (4) tahun atau memperolehi sesuatu yang serupa dengan tatabahasa rumit dalam bahasa manusia.
Bahasa manusia berbeza daripada sistem komunikasi haiwan yang mana ia menggunakan kategori tatabahasa dan semantik seperti kata nama, kata kerja, kala kini dan kala lampau. Kesemua ini boleh digunakan bagi mengungkapkan maksud yang rumit. Ia dibezakan oleh ciri pengulangan. Contohnya, satu frasa nama boleh mengandungi frasa nama lain seperti "bibir [chimpanzee]" atau satu klausa boleh mengandungi satu klausa lain seperti, "aku melihat [anjing itu berlari]".
Bahasa manusia adalah satu-satunya sistem komunikasi semulajadi yang penyesuaiannya boleh dirujuk sebagai bebas modaliti. Maksudnya, bahasa manusia boleh digunakan bukan sahaja untuk komunikasi melalui satu saluran atau wahana, tetapi juga melalui pelbagai saluran atau wahana. Contohnya, bahasa percakapan menggunakan modaliti pendengaran. Manakala, penulisan pula menggunakan modaliti penglihatan dan tulisan braille menggunakan modaliti sentuhan.
Bahasa manusia ini luar biasa disebabkan ia mampu merujuk kepada konsep yang abstrak, bayangan atau kejadian hipotetik sertya kejadian yang telah berlaku di masa lampau atau yang boleh jadi berlaku pada masa hadapan. Kemampuan untuk merujuk kepada kejadian yang tidak berlaku pada masa yang sama atau tempat yang berbeza ini digelar sebagai anjakan atau displacement dalam bahasa Inggeris. Walaupun sesetengah sistem komunikasi haiwan boleh menggunakan anjakan seperti dalam komunikasi lebah yang menyampaikan maklumat lokasi sumber madu yang tidak kelihatan di penglihatan, namun tahap ia digunakan dalam bahasa manusia ini dianggap sebagai unik.