Dari tahun 1990an sehingga kini, warganegara India masuk lagi ke Malaysia dan Singapura dalam gelombang yang lebih kecil. Mereka bekerja dalam pelbagai bidang seperti pembinaan dan industri kejuruteraan, teknologi maklumat (IT), tenaga pengajar di kolej dan universiti, restoran dan lain-lain. Ramai dalam kalangan mereka juga menerima taraf penduduk tetap di Singapura yang mana mereka membentuk hampir suku populasi penduduk di Singapura. Buruh yang tidak berkemahiran pula bekerja di restoran mamak atau restoran makanan India. Selain itu, terdapat juga wanita atau lelaki India yang berkahwin dengan orang India warganegara Malaysia atau Singapura.
Dari segi demografi atau kependudukan, populasi orang India Malaysia pada tahun 2020 adalah kira-kira 6.6% daripada populasi Malaysia yang berjumlah 33,199,922 orang. Banyak sekali tempiasan berlaku antara pelbagai suku kaum dan pembahagian pekerjaan dalam kalangan masyarakat Malaysia. Hal ini tercermin pada taburan geografi komuniti India di Malaysia. Orang Tamil menjadi majoriti orang India yang boleh ditemui di seluruh negara yang mana mereka terlibat sebagai pekerja di ladang getah dan landasan kereta api. Selain itu, orang Tamil juga bekerja di jeti-jeti pelabuhan di Penang dan Singapura. Selanjutnya, Selangor merupakan antara negeri di Semenanjung Malaysia yang mempunyai jumlah orang India yang terbesar sekali manakala populasi orang India di Negeri Sembilan membentuk jumlah tertinggi bagi populasi orang India di keseluruhan Malaysia.