Gelombang Pertama Penghijrahan Orang India

Pada zaman purba, Semenanjung Tanah Melayu sebahagiannya berada di bawah pengaruh mandala kerajaan keindiaan seperti Srivijaya, Kataha, dan Majapahit yang membentuk sebahagian daripada rantau pengaruh kebudayaan yang dikenali sebagai India Raya. Balaji Sadasivan (2011) dalam karya beliau berjudul, "The Dancing Girl: A History of Early India" terbitan Institute of Southeast Asian Studies menyatakan bahawa terdapat kemungkinan wujudnya gelombang awal penghijrahan populasi dari India ke Asia Tenggara yang berlaku semasa zaman penaklukan Kalinga oleh Maharaja Asoka dari dinasti Maurya dan kempen ke Selatan oleh Maharaja Samudragupta dari dinasti Gupta.

Pedagang dari India dan Arab mengembara di rantau perdagangan maritim yang termasuklah di Semenanjung yang terletak di hujung benua Asia Tenggara dan Selatan Siam yang dikawal oleh raja-raja dari dinasti Sailendra di Jawa. Raja-raja penguasa di rantau tersebut mengalu-alukan penyebar ajaran Buddha dari benua India, menerima ajaran Buddha dari aliran Mahayana dan menyebarkannya pula di kerajaan mereka. Walau bagaimanapun, rantau di tengah dan timur laut Siam masih lagi menganuti ajaran Buddha dari aliran Theravada yang diperkenal oleh penyebar ajaran Buddha dari zaman Maharaja Asoka pada abad ke-3 SM.

Teori yang lain mengenai pengenalan kepada ajaran Buddha selepas kehadiran orang India purba di semenanjung adalah selepas penaklukan Kalinga ke atas Burma Bawah pada abad ke-8 masihi sehinggakan pengaruh mereka melebar sehingga ke selatan di semenanjung. Raja Kalinga purba yang kerajaannya terletak di tenggara India mengawal rantau dalam Orissa dan utara Andhra Pradesh. Pada abad ke-7 masihi pula, sebuah kerajaan bernama Kalingga didirikan di Jawa Barat, bersempena nama Kalinga di India. Rekod Cina mencatatkan bahawa kerajaan Kalingga menjadi pusat kepada kesarjanaan Buddha sekitar tahun 604 masihi sebelum ia dibayangi oleh dinasti Sanjaya dari kerajaan Mataram. Raja yang terkenal dari kerajaan tersebut ialah Ratu Sima.

Selain itu, wujud juga bukti mengenai kerajaan bercorak keindiaan lain di semenanjung seperti Gangga Nagara, Kedah Tua, dan Srivijaya sejak 1,700 tahun yang lalu. Perhubungan awal antara kerajaan purba di Tamilakkam dan Semenanjung Tanah Melayu turut melibatkan dinasti Pallava dari abad ke-4 sehingga ke-9 masihi dan dinasti Chola dari abad ke-9 sehingga ke-13 masihi.

Selanjutnya, "The Handbook of Tamil Culture and Heritage" (2000) terbitan International Tamil Language Foundation menyebut bahawa hubungan perdagangan antara pedagang Tamil purba dengan pelabuhan di Semenanjung Tanah Melayu menyumbang kepada pengaruh kebudayaan di Kataha (Kedah Tua) dan Langkasuka. Selanjutnya, Raja Rajendra Chola I dari dinasti Chola turut menghantar tentera dalam kempen ketenteraannya ke Kataha yang ketika itu dikawal oleh Srivijaya pada abad ke-11 masihi dan menaklukinya mewakili seorang lagi raja tempatan yang meminta suaka dinasti Chola. Dinasti Chola mempunyai pedagang yang berpengaruh dan kapal perang yang mampu belayar merentasi Lautan Hindi serta Teluk Bengal. Pengarang Periplus menyebut bahawa dinasti Chola menghasilkan sampan ringan yang boleh belayar di tepian pantai untuk menghampiri rantau tempatan, kapal besar yang lebih rumit binaannya dan kapal besar yang mampu melawan ombak di lautan untuk perjalanan ke Malaya, Sumatera dan merentasi Sungai Gangga.

Pada awal zaman klasik pula, ceti peranakan Tamil memainkan peranan dalam Kesultanan Melaka. Etnik Tamil turut berperanan dalam pentadbiran di Melaka serta memegang jawatan di pelabuhan tempatan contohnya seperti Raja Mudaliar, Syahbandar Melaka dan Bendahara Tun Mutahir, yang terkenal sebagai Bendahara Kesultanan Melaka.