Gen Z dan Kesihatan Mental

Gen Z khususnya lebih terdedah kepada isu kesihatan mental disebabkan oleh pelbagai punca. Antara puncanya adalah seperti berikut:

  • Pendigitalan dalam kehidupan seharian di mana gajet dan media sosial digunakan secara meluas serta jangkaan yang tinggi dibebankan ke atas mereka dalam pembelajaran atau di tempat kerja mereka. Oleh itu, mereka cuba mencari makna dalam kehidupan mereka dan ingin mengenalpasti isu yang penting kepada mereka sehingga menyebabkan tekanan besar ke atas mereka seperti yang terpapar kepada kes bunuh diri yang berlaku dalam kalangan remaja semasa pandemik Covid-19 tempoh hari.
  • Rentak kehidupan yang pantas, urbanisasi yang tinggi, perubahan dalam budaya kerja dan cabaran ekonomi juga boleh menimbulkan gejala sosial dan mengakibatkan kesihatan mental masyarakat terjejas seperti yang kita dapat lihat dalam kes kemurungan, kegusaran dan tekanan jiwa.  

Walaupun golongan remaja masa kini terpaksa beradaptasi dengan gaya kehidupan yang pantas rentaknya, namun mereka tidak semestinya menghadapi cabaran yang lebih banyak jika dibandingkan dengan generasi lama. Selain itu, mereka mempunyai tahap kesedaran mengenai kesihatan yang lebih tinggi jika dibandingkan dengan generasi sebelum ini.

Di samping itu, terdapat juga perkaitan antara rentak kehidupan yang pantas dengan kesihatan mental kerana kita akan sentiasa tergesa-gesa untuk mencapai objektif yang seterusnya yang difokuskan kepada diri sendiri sehingga menjadikan mereka kurang empati.