Kaedah Memperbaiki Sistem Kesihatan Mental

Beberapa isu yang perlu ditangani bagi memastikan bahawa isu kesihatan mental ini diuruskan dengan sebaik mungkin:

  • Meningkatkan akses kepada penjagaan kesihatan mental di seluruh negara. Hal ini adalah satu cabaran yang besar kerana sumber kebanyakannya bertumpu di Lembah Klang dan Pulau Pinang. Oleh itu, penyebaran peluang latihan untuk kakitangan penjagaan kesihatan mental dan mekanismenya adalah sangat penting bagi memastikan perkhidmatan kesihatan mental dinikmati oleh semua.
  • Kemudahan akses, membanteras stigma dan memastikan bahawa tiada diskriminasi terhadap mereka yang mengalami isu kesihatan mental juga perlu ditangani dengan sebaiknya. Stigma masih lagi menjadi penghalang terbesar kepada akses bagi penjagaan kesihatan mental dan terus menjadi penyumbang terbesar kepada jurang rawatan antara individu yang memerlukan bantuan serta mereka yang menerima akses kepada perkhidmatan ini.
  • Diskriminasi berdasarkan kepada kesihatan mental di tempat kerja dan institusi pendidikan ini haruslah ditangani dengan menyediakan sistem yang bersesuaian seperti memasukkannya ke dalam sistem cuti sakit. Kesihatan mental perlulah dijadikan sebagai alternatif bagi permohonan cuti sakit kerana kesihatan itu merangkumi kesejahteraan mental dan juga fizikal. Hal ini penting bagi merealisasikan tema Hari Kesihatan Mental Sedunia 2023 di mana kesihatan mental ini adalah satu hak asasi manusia yang sejagat.