Kerasukan di Jalan Lama Maran

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Kisah yang pertama ini diadaptasi dari judul asalnya, "Roh Tak Tenteram di Jalan Lama Maran," yang menurut cerita ini berlaku di Maran, Pahang. Menurut Azam, yang berkongsi cerita seram ini, kisah ini terjadi pada awal tahun 2025. Beliau dan dua lagi rakannya, Nelly dan Fuad merancang untuk ke Gambang Water Park bagi meraikan selesainya peperiksaan akhir mereka.

Pada petang hari Jumaat, mereka bertolak ke Negeri Sembilan dahulu bagi mengambil kenderaan Azam di rumahnya. Maksudnya, mereka bertukar kereta. Seterusnya, mereka akan meneruskan perjalanan melalui Jalan Dalam Kuala Pilah. Perjalanan ini mengambil masa dalam empat ke lima jam untuk sampai ke Gambang. Memang jauhlah jika mengikuti Jalan Dalam ini.

Pada waktu itu, Fuad duduk berseorangan di kerusi belakang kereta. Manakala, Nelly pula duduk di tempat duduk penumpang di sebelah Azam. Laluan jalan itu memang gelap dan mereka berhenti di Temerloh untuk berehat, makan dan solat. Seterusnya meneruskanlah perjalanan sehinggalah mereka sampai di Maran.

Setibanya di Maran, kereta Azam seolah-olah semput. Maka, Azam mengambil keputusan untuk menghentikan keretanya di tepi bahu jalan bagi memeriksa apakah yang tidak kena dengan kereta itu. Apabila diperiksa, Azam tidak dapat memastikan pun apakah masalah kereta itu sebenarnya. Pada masa itu, Azam membuka bonet hadapan dan meminta Fuad memasang segitiga kecemasan dalam jarak lebih kurang 30 meter daripada kereta supaya kereta lain nampak mereka dan tidaklah berlaku kemalangan. 

Ketika itu, Nelly masih lagi berada di dalam kereta. Apa yang boleh Azam gambarkan kepada pendengar semua adalah, kawasan tersebut tidak disinari oleh sebarang lampu jalan. Kereta yang lalu lalang pun hanya boleh dikira dengan jari sahaja. Itu pun, kereta yang lalu kebanyakannya menghala ke Temerloh berlawanan arus dengan kereta Azam. Kereta menuju ke Gambang sedikit sahaja. Jika tidak, bolehlah mereka meminta bantuan.

Pada waktu itu, Azam hanya bimbang jika ada orang yang datang untuk menyamun atau merompak mereka. Lagi pun kawasan itu gelap, kereta tidak banyak lalu di situ dan orang pun tidak ramai. Jadi, Azam meminta Fuad berjaga-jaga kalau ada orang yang datang ke kereta mereka untuk melakukan perkara yang tidak patut. Selain itu, Azam turut memerhatikan sekeliling dan tidak nampak sesiapa. Dia hanya mendengar bunyi cengkerik sahaja. 

Tiba-tiba, mata Azam tertumpu ke arah Nelly. Dia nampak Nelly dengan wajahnya yang tersenyum dengan matanya yang terbeliak memerhatikan Nizam yang betul-betul berada di hadapannya. Kemudian, Nelly mengilai sekuat-kuat hati dan meronta di dalam kereta seperti orang yang kepanasan. Nizam lantas menjerit memanggil Fuad. Fuad pun menghampiri Azam namun mereka berdua buntu pula selepas itu kerana tidak tahu hendak berbuat apa melihat Nelly dalam keadaan sebegitu. Azam bimbang jika Nelly keluar daripada kereta tersebut dan berlari ke tengah jalan. Kereta yang lalu di jalan itu tiada yang perlahan, kesemuanya laju belaka. Waktu itu, Azam mendengar Nelly menjerit-jerit, "Aku belum mati! Aku belum mati! Aku belum mati! Kau pembunuh!!!" Azam melihat Nelly mencangkuk dan bergerak ke tempat duduk di belakang kereta sambil memerhatikan Azam dan Fuad.

Fuad mendapati bahawa talian telefon mereka tidak dapat menghubungi talian di luar. Selain daripada itu, mereka juga tiada saudara mara di Pahang jadi mereka tidak tahu hendak meminta bantuan kepada siapa. Mereka berdua panik apabila melihat Nelly mula mencakar-cakar cermin kereta di bahagian belakang. Bayangkan bunyi cakaran tersebut dibuat dengan kuku yang tajam. Nelly menjerit-jerit lagi, "lepaskan aku! Kau pembunuh!" Renungan Nelly pada ketika itu sangat menyeramkan.

Lebih kurang 15 minit kejadian itu berlaku, Fuad dan Azam melihat seorang lelaki tua berjubah putih menaiki motosikal dengan tidak bertopi keledar melalui kawasan itu dan berhenti di hadapan kereta Azam. Lalu dia bertanya, "kau orang ini dah kenapa?" Azam pun menceritakan dari awal kejadian bermula daripada keretanya yang semput sehinggalah kepada kejadian Nelly meracau di dalam kereta tersebut. Pada masa itu, pak cik itu memerhatikan Nelly di dalam kereta dan Nelly sedang tersengih melihat mereka bertiga dari dalam kereta. Pak cik tersebut meminta supaya Azam dan Fuad menolak kereta itu ke hadapan sedikit. Beliau meminta keizinan Azam untuk masuk ke dalam kereta bagi menguruskan Nelly. Azam dan Fuad menolak kereta tersebut sejauh 100 meter ke hadapan. Dan seterusnya meminta Fuad membantunya membawa motornya ke hadapan. 

Dalam pada Fuad mendapatkan motorsikal pakcik tersebut, Azam terdengar perbualan pakcik itu dengan Nelly. Katanya kepada Nelly, "engkau ini tak habis-habis mengacau orang. Buruk benar perangai engkau." Azam nampak Nelly behave saja di sebelah pakcik itu apabila dibebel olehnya. Tidak pula dia meracau atau membuat mimik muka yang menakutkan. Selepas Fuad sampai, Azam pun bertanya kepada pakcik, "selepas ini kita nak buat apa pula pakcik?" Jawab pakcik itu, "tunggu sekejap, ya. Sebab pakcik dah panggil pomen dan perawat ke mari."

Selepas setengah jam menunggu, Azam melihat sebuah kereta Iswara lama menghampiri mereka. Ia berhenti betul-betul di hadapan kereta Azam. Kemudian, Azam melihat seorang lelaki separuh abad keluar dari kereta itu bersama seorang lelaki. Lelaki yang tua sedikit, berkemungkinan perawat yang merupakan kawan kepada pakcik tua berjubah putih itu melihat Nelly di belakang kereta Azam manakala seorang lagi memeriksa enjin kereta di hadapan. Semasa itu, rambut Nelly sudah kusut masai. Tiba-tiba pakcik itu berkata, "awok dah mati watpe ganggu orang di sini?" Azam kehairanan, "siapakah yang ditegur oleh pakcik itu?" Azam dan Fuad dipanggil oleh pakcik itu supaya memegang Nelly kerana dia sudah mula meronta. Azam memegang tangan Nelly manakala Fuad memegang kaki Nelly. Pak cik perawat itu merenjis-renjis air di muka Nelly sambil terkumat kamit membaca ayat suci. Nelly terus meronta sambil mengilai. Pak cik itu pergi ke sisi kiri Fuad lalu mencubit ibu jari kaki kiri Nelly. Nelly pun menangis dan meraung sambil berkata, "sakittt!!!" dan dia pun pengsan di pangkuan Azam.

Pak cik perawat itu membaringkan Nelly di belakang kereta dan berpesan kepada mereka berdua jika Nelly telah sedar nanti, berikan dia minum air bacaan Yasin yang disediakan. Mereka dibekalkan dengan tiba botol air bacaan Yasin. Manakala lelaki yang membelek enjin kereta mereka tadi meminta Azam menghidupkan enjin kereta. Tiba-tiba kereta Azam terus elok sahaja fungsinya. Tiada apa pun yang rosak sebenarnya. 

Jadi, pakcik tua yang berjubah putih pada awal tadi itu berbual sebentar dengan Azam dan Fuad di hadapan kereta Azam sambil menghisap rokok daun. Beliau memaklumkan bahawa kawasan yang dilalui oleh mereka itu adalah kawasan yang keras sebab banyak berlaku kemalangan maut. Manakala benda yang merasuki Nelly itu memang sering mengganggu orang yang melalui kawasan itu. Azam tidak pula menceritakan dengan khusus di mana kejadian itu berlaku di Maran. Tapi, selepas itu mereka disuruh beredar cepat bimbang berlaku perkara lain pula yang tidak diingini.

Azam menghulurkan wang sebanyak RM 50.00 tanda berterima kasih kepada orang tua itu tetapi ditolak kerana orang tua menyatakan bahawa beliau hanya menolong dengan ikhlas sahaja. Bila orang dah cakap begitu, Azam dan Fuad pun bersalaman dengan orang-orang yang membantu mereka tadi serta terus bergerak meninggalkan kawasan itu. 

Sesampainya mereka di Sri Jaya, Nelly pun tersedar dan terpinga-pinga kehairanan. Mana tidaknya, sebelum ini dia berada di tempat duduk penumpang di hadapan. Dia bertanya kepada Fuad, "bila pula aku beralih tempat ke belakang ini? Aku mengigaukah tadi?" Fuad tidak banyak cakap, Azam pun tidak bercakap apa-apa. Fuad hanya menghulurkan sebotol air Yasin yang diberikan oleh pak cik tadi kepada Nelly. Nelly pun kebingungan... Mereka meneruskan perjalanan sehingga ke Gambang dan mendaftar masuk ke sebuah hotel di situ. Nelly terlena di katil bujang di bilik hotel tersebut dan kedua-dua Azam serta Fuad pun terpokang lena kepenatan di katil Queen di bilik yang sama. 

Begitulah kisah yang berjudul, "Roh Tak Tenteram di Jalan Lama Maran." Azam mengucapkan terima kasih kepada saluran STC kerana sudi menyampaikan kisah seram daripada beliau pada malam ini. Jadi, inilah kisahnya Azam dan rakan-rakan beliau yang apabila melalui kawasan Maran maka mereka mengalami kejadian ini.

Sebelum menutup kisah ini, Acap yang membacakan kisah ini mengulas komen yang diberikan oleh pendengar pada sesi podcast itu. Menurut beberapa pendengar, mereka atau keluarga mereka turut mengalami kejadian yang hampir sama dengan kejadian yang dialami oleh Azam dan rakan-rakannya apabila melalui kawasan Maran. Jadi, beliau meminta pendengar berkongsi kisah berkenaan di ruangan komen sebagai rekod rujukan pendengar yang lain.