Minutemen

Minutemen merupakan sebuah filem tayangan saluran Disney yang berbentuk cereka sains. Ia ditayangkan pada tahun 2008 dan merupakan rancangan di kabel yang paling banyak ditonton untuk seminggu iaitu seramai 6.48 juta penonton.

Filem ini ditulis oleh John Killoran (penulisan dan wayang televisyen). David Diamond dan David Weissman menulis jalan cerita. Pengarahnya pula Lev L. Spiro yang menerima pencalonan Director Guild untuk Pencapaian Menakjubkan dalam Rancangan Kanak-Kanak. Pengeluar eksekutif filem ini pula adalah Andrew Gunn, Ann Marie Sanderlin dan Doug Sloan. Filem ini pada asalnya dicadangkan untuk dilepaskan pada bulan Mac 2008, tapi tayangan pertamanya di saluran Disney di Amerika Syarikat adalah pada 25 Januari 2008.

Jalan Cerita

Pada hari pertama di sekolah tinggi, tiga sahabat baik iaitu Virgil Fox, Derek Beaugard dan Stephanie Jameson membuat keputusan untuk memilih jalan hidup di sekolah baru dengan pelbagai kegiatan. Derek menyertai pasukan ragbi sekolah manakala Stephanie menyertai pasukan sorak sekolah. Kehidupan sebagai pelajar sekolah tinggi bagi Virgil pula sebaliknya tidak berjaya.

Charlie Tuttle pula adalah seorang pelajar genius yang telah melompat banyak gred persekolahan. Dia mencipta sebuah kereta roket. Semasa memandu uji kereta roket tersebut, dia kehilangan kawalan sehinggalah Derek membaling bola ragbi ke arahnya dan menyebabkannya terjatuh. Virgil mempertahan Charlie sementara Derek hanya duduk di belakang kumpulan senior yang memperolok-olokkan Charlie. Kedua-dua Virgil dan Charlie dipaksa berpakaian seperti gadis pasukan penyorak bola ragbi dan digantung di tanduk maskot sekolah iaitu patung seekor kambing biri-biri bertanduk besar.

Tiga tahun kemudian, walaupun sudah memasuki tahun senior, Virgil dan Charlie masih lagi termasuk dalam kumpulan pelajar-pelajar terbuang. Charlie memaklumkan Virgil bahawa dia telah mencipta sebuah mesin masa. Disebabkan mereka tidak tahu cara membina mesin masa tersebut, maka mereka meminta pertolongan Zeke yang berminat dengan kerja-kerja bengkel. Apabila selesai dibina, Virgil yang masih lagi berasa sesal dengan kejadian yang menimpanya pada tahun satu ingin menggunakan mesin tersebut untuk kembali ke masa silam dan mengelakkan dirinya dimalukan oleh rakan-rakan sekolah mereka. Mereka memeriksa mesin tersebut dengan cuba memenangi tiket loteri.    

Jeannette membantu tiga sekawan tersebut untuk menyelamatkan mereka yang terbuang daripada dimalukan di sekolah tersebut. Jeannette membekalkan mereka dengan pakaian bermain salji berwarna putih untuk dipakai bagi menyembunyikan identiti mereka semasa mereka mengembara merentasi masa. Timbalan pengetua sekolah cuba untuk menghentikan "Budak-Budak Baju Sejuk". Nama ini merupakan panggilan pelajar-pelajar lain di sekolah kepada mereka.

Selepas "Budak-Budak Baju Sejuk" dinamakan sebagai wira sekolah, mereka menyelamatkan Stephanie daripada terjatuh semasa membentuk piramid pasukan penyorak. Stephanie yang menyedari bahawa Virgil yang menyelamatkannya maka peluang Virgil untuk mendampingi pelajar popular di sekolah pun terbuka. Mesin merentas masa tersebut mula menimbulkan kesan buruk. Pelajar terbuang pula merasakan bahawa mereka menyukai keadaan tersebut dan mula berubah menjadi bongkak. Virgil meninggalkan Charlie dan Zeke. Dalam masa yang sama, Stephanie mendapat tahu bahawa Derek berbohong dan mengorat gadis lain di belakangnya. Derek juga berpura-pura berkawan dengan Virgil untuk memintanya mengubah segala yang berlaku dengan mesin merentas masa itu.

Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) tiba di pekan tersebut selepas mendapat laporan bahawa ada kegiatan yang haram terjadi di pekan itu. Selepas berbincang dengan saintis kerajaan, Charlie mendapati bahawa mesin tersebut mencetuskan lohong hitam. Didapati bahawa mereka cuma ada empat jam sahaja untuk hidup. Jadi tiga sekawan itu bercadang untuk masuk ke lohong hitam yang terbentuk di padang sekolah dan menutupnya. Sebaik sahaja mereka memasuki lohong hitam itu, mereka dibawa pulang ke hari pertama mereka di sekolah tinggi sebagai pelajar junior.

Virgil ternampak kejadian dia dan Charlie dibuli dan ingin mengubahnya. Tapi, dia disedarkan oleh Charlie dan Zeke bahawa mereka menjadi kawan selepas semua yang mereka lalui. Sebelum Virgil kembali mengejar Charlie dan Zeke, dia ternampak Derek berada di belakang kumpulan pelajar senior dan langsung tidak cuba menghentikan kejadian buli tersebut. Sebaliknya dia lah yang mencadangkan supaya Charlie dan Virgil dimekap seperti gadis pasukan penyorak sekolah.

Mereka berjaya menutup lohong hitam tersebut dan kembali ke hari pertama mereka mencuba mesin merentas masa itu. Segalanya kembali seperti asalnya dan Virgil mengakui bahawa dia ada hati dengan Stephanie. Stephanie juga sebenarnya suka kepada Virgil. Virgil bertukar-tukar kutukan selepas menyedari bahawa Derek sebenarnya seorang yang teruk. Semasa Virgil dan Stephanie berpelukan, Charlie datang dari lambakan buku-buku dan dengan ghairahnya mencadangkan idea terbarunya iaitu teleportation pula. Kali ini, Virgil dan Zeke tidak mahu bekerjasama lagi dan menarik Charlie pergi dari perpustakaan.

Barisan Pelakon

Jason Dolley sebagai Virgil Fox
Luke Benward sebagai Charlie Tuttle
Nicholas Braun sebagai Zeke Thompson
Chelsea Staub sebagai Stephanie Jameson
J.P. Manoux sebagai Timbalan Pengetua, Stewart Tolkan
Steven R. Mcqueen sebagai Derek Beaugard
Kara Crane sebagai Jeannette Pachelewski
Dexter Darden sebagai Chester
Kellie Cockrell sebagai Jocelyn Lee
Molly Jepson sebagai Amy Fox
Larry Filion sebagai Agen FBI

Lokasi Lakonan

Lokasi lakonan pula adalah di Sekolah Tinggi Murray. Sekolah tinggi ini pernah menjadi set pengambaran bagi filem Take Down (1978), Read It and Weep (2006) dan juga the High School Musical (2006 dan 2008). Selain itu pengambaran juga dijalankan di Sekolah Tinggi Highland di Sugar House.

Muzik Tunggal

Muzik tunggal pertama bagi filem ini berjudul "Run It Back Again" oleh Corbin Bleu yang dilepaskan ke khalayak umum pada 22 Januari 2008 di Radio Disney Jams, Bil. 10 dan ia merupakan video muzik yang ditayangkan pertama kali di saluran Disney. Yang lain berjudul "Like Whoa" dendangan Aly & AJ ke udara pada 19 Januari 2008 di seluruh dunia sebagai satu lagi video muzik bagi filem ini di saluran Disney. Lagu ini boleh dibeli dengan album, Insomniatic.