Mostly Ghostly: Who Lets the Ghosts Out?

Mostly Ghostly: Who Let the Ghosts Out? merupakan sebuah filem fantasi seram dan komedi berdasarkan siri-siri buku yang ditulis oleh R. L. Stine dari siri buku Goosebumps. Ia dilepaskan kepada umum pada 30 September 2008 dalam bentuk DVD. Tayangan perdananya di Saluran Disney pada 11 Oktober 2008. Ia dimainkan semula setiap bulan Oktober di Saluran Disney sebagai sebahagian daripada rancangan bertemakan hari Halloween. Selain itu, ia juga dimainkan lagi di Disney XD. Filem ini ditayangkan di Saluran Disney pada tahun itu sebahagian daripada "Perayaan Wiz-Tober".

Jalan Cerita

Max Doyle ialah seorang kanak-kanak berusia 11 tahun yang berminat dengan persembahan magik. Hal ini menyebabkan bapanya kecewa dan dia turut diperli-perli oleh abang sulungnya, Colin. Semasa membasuh di tingkat bawah tanah, Max ada terdengar suara-suara. Dia memeriksa punca bunyi suara tersebut dan mendapati ada tangan keluar dari dinding. Rupanya di belakang dinding tersebut ada terowong yang memenjarakan Phears yang jahat dan kader-kader hantunya.

Phears berniat untuk melepaskan dirinya dan pengikutnya daripada dinding tersebut. Mereka hanya boleh keluar dari dunia hantu dan tinggal di dunia manusia hanya pada hari Halloween sahaja. Kemudian, Max bertemu dengan dua orang anak hantu bernama Nicky dan Tara Roland. Mereka tiba-tiba sahaja menghuni bilik Max. Mereka menerangkan kepada Max bahawa mereka memerlukan bantuannya untuk mengetahui tentang siapakah diri mereka, bagaimana mereka bertukar menjadi hantu dan apakah yang terjadi kepada ibu bapa mereka.

Walaupun mereka tidak kelihatan di mata orang lain, tetapi Max boleh melihat dan anak-anak hantu itu pula boleh berhubung dengan benda-benda di dunia fizikal. Hal ini membolehkan mereka menakutkan seorang budak yang sering membuli Max di sekolah. Tidak lama kemudian, Tara dan Nicky mengetahui bahawa Phears yang membunuh ibu bapa mereka dan kini ibu bapa mereka ditahan oleh hantu tersebut. Semasa latihan pertunjukan Magik Max, Tara ditangkap oleh Phears.

Max memberitahu Nicky akan hal ini dan mencadangkan supaya Nicky membuangnya ke dalam terowong bawah tanah untuk mencari Tara. Sama halnya dengan kebanyakan orang tidak nampak hantu, hantu juga tidak nampak manusia di dunia mereka. Max mendapatkan sebuah kotak dari Tara. Kotak tersebut mengandungi sebentuk cincin yang digunakan untuk menewaskan hantu-hantu jahat. Walau bagaimanapun, Phears menghalang Tara sebelum dia melarikan diri dengan Max. Traci, seorang gadis yang disukai oleh Max menjadi pembantunya dalam pertunjukan magiknya. Mereka membuat persembahan dengan bantuan Nicky yang menggerakkan barang-barang di udara. Jadi orang ramai nampak seolah-olah ia adalah sesuatu yang magik.     

Pada hari Halloween, Phears muncul dan akhirnya memecahkan terowong dinding tersebut. Phears merosakkan pertunjukan magik yang dipersembahkan oleh Max. Di situ juga, Max membaca jampi "Dari cahaya turunnya kegelapan di bumi, pulanglah ia kepada tempat bergantungnya, apabila tangan menunjuk kepada langit disinari sang rembulan, pada ketika 31 Oktober matinya kegelapan". Serentak dengan itu, Phears dan pengikut-pengikutnya dihantar ke kedalaman bumi. Tapi pada penghujung cerita, kelihatan bahawa Phears sebenarnya terlepas kerana dia menjelma menjadi seekor lipas apabila orang lain tidak melihatnya. 

Barisan Pelakon

Sterling Beaumon sebagai Max Doyle
Madison Pettis sebagai Tara Roland
Luke Benward sebagai Nicky
Brian Stepanek sebagai Phears
Ali Lohan sebagai Traci Walker