Oleh Helmi
23 September 2004
Nota Pendahuluan
23 September 2004
Nota Pendahuluan
Dalam
konteks kertas kerja ini, saya hanya bercakap berkenaan aktiviti
terjemahan ke dalam Bahasa Melayu sahaja disebabkan latar belakang saya
sebagai penerbit buku-buku Bahasa Melayu.
Industri Bermodalkan Bahasa Tempatan
Di
seluruh dunia, industri yang menggunakan bahasa tempatan sebagai modal
utamanya adalah industri yang berpotensi besar. Di India sebagai contoh,
industri filemnya adalah kedua terbesar di dunia selepas Hollywood.
Filem-filem dalam bahasa Hindi dieksport ke Latin Amerika, Afrika, Asia
Tengah dan Asia Tenggara. Manakala industri filem Hong Kong adalah
ketiga terbesar di dunia.
Di
negara-negara di mana industri bahasa tempatan tidak berkembang,
keadaan itu adalah disebabkan dasar pemerintahnya yang tidak berminat
mengembangkan sektor tersebut.
Senario Semasa Pasaran Buku Bahasa Melayu di Malaysia
Sejak
tiga ataupun empat lima tahun yang lalu, maklumat yang kita terima
daripada para pengedar dan penjual buku menunjukkan berlakunya lonjakan
yang amat ketara bagi permintaan buku-buku dalam Bahasa Melayu di negara
ini. Seorang pegawai pemasaran sebuah cawangan superstore buku Jepun
memaklumkan jualan judul Melayu di outletnya naik pada kadar melebihi
30% setahun.
Sebuah
rangkaian chainstore buku yang memfokuskan pelanggan mereka di kalangan
golongan kelas menengah bandar-bandar besar, yang sebelum ini hanya
menjual buku-buku bahasa Inggeris, sejak dua tahun yang lalu sudah
membuka jabatan khusus bagi penjualan buku-buku Bahasa Melayu.
Dua
buah rangkaian chainstore buku, satu tempatan dan satu lagi dari
Singapura, yang sebelum ini memfokuskan perrniagaan mereka menjual
buku-buku dalam bahasa Cina juga sudah memasuki pasaran buku dalam
Bahasa Melayu.
Pada
masa ini sudah muncul sebuah supermarket buku dalam kompleks
membeli-belah yang khusus menjual buku-buku Bahasa Melayu sahaja dengan
kos sewaan ruang sebanyak RM720 ribu setahun. Supermarket ini mempunyai
lebih 15,000 orang pelanggannya yang mendaftar sebagai ahli kelab
pembaca yang dikenakan yuran RM10 setahun (membawa pendapatan RM150 ribu
setahun) di mana mereka layak menerima diskaun istimewa bagi setiap
pembelian buku yang mereka buat di supermarket itu.
Gosip
terbaru yang sedang beredar dalam komuniti penerbit buku tempatan
adalah sebuah pelabur besar akan melabur secara besar-besaran dengan
membuka rangkaian chainstore yang khusus menjual buku-buku agama dalam
Bahasa Melayu sahaja dalam kompleks membeli-belah di kawasan golongan
kelas menengah bandar-bandar utama negara ini.
Beberapa
cawangan penerbit antarabangsa yang mempunyai pejabat di negara ini
sudah mula secara aktif menerbitkan buku-buku Bahasa Melayu, termasuk
judul-judul terjemahan. Sebuah agen PTS di utara memaklumkan beliau
menjual 500 naskhah judul terjemahan buku Steven Covey dalam masa 3
bulan manakala buku versi Inggerisnya tidak sampai 50 naskhah.
Bekalan Buku Terjemahan dalam Bahasa Melayu:
Pada
masa ini, jumlah judul Bahasa Melayu keluaran tempatan tidak dapat
memenuhi permintaan. Secara tradisional Malaysia adalah pengimport
buku-buku terbitan Indonesia yang terbesar, khususnya buku-buku agama
bermutu tinggi yang diterjemahkan langsung daripada bahasa Arab dan
diterbitkan di negara itu. Sebuah penerbit Singapura amat aktif membeli
hak menerbitkan karya-karya terjemahan Indonesia dan diterbitkan semula
dalam bentuk edisi Bahasa Melayu bagi pasaran Malaysia, Singapura dan
Brunei.
Perdagangan
eksport-import buku antara Malaysia dan Indonesia sejak dahulu sehingga
hari ini menguntungkan Indonesia, dengan 99 peratus daripada import
buku dari Indonesia adalah buku-buku agama terjemahan. Saya perlu
membuat catatan di sini, sektor buku agama adalah sektor yang besar,
dalam bahasa Inggeris sekalipun.
Indonesia
juga sangat aktif menterjemahkan judul-judul karya pengarang luar
negara yang popular. Maklumat yang kami terima daripada dua buah
penerbit yang paling besar di Indonesia menunjukkan pasaran judul
terjemahan di Indonesia semakin membesar.
Pada
masa ini sudah ada usaha-usaha awal daripada beberapa penerbit Malaysia
untuk memanfaatkan judul-judul terjemahan Indonesia ke dalam bentuk
edisi Malaysianya bagi menurunkan kos menterjemahnya. Para penerbit
judul-judul terjemahan di Taiwan bekerjasama dengan penerbit di China
bagi menerbitkan edisi khusus bagi pembaca di China disebabkan wujudnya
sedikit perbezaan bahasa.
Keyakinan Penerbit Buku Bahasa Melayu
Dalam
isu penerbitan buku Bahasa Melayu hari ini, terdapat dua kumpulan
penerbit. Kumpulan pertama, dan yang lebih besar jumlahnya, tidak yakin
pelaburan menerbitkan buku-buku terjemahan yang dapat membawa pulangan
yang selesa kepada pelabur. (Saya minta maaf banyak-banyak kepada ITNM,
semenjak institut itu ditubuhkan ia telah dipimpin oleh
individu-individu yang jauh di dalam hati mereka, sebenarnya mereka
termasuk dalam kumpulan ini.)
Kumpulan
kedua, yang sangat kecil jumlahnya, yakin buku-buku terjemahan
mempunyai potensi pasarannya di negara kita ini, tetapi mereka tidak
mempunyai modal yang cukup bagi memasuki pasaran itu dengan cara-cara
yang memenuhi syarat untuk berjaya. Saya termasuk dalam kumpulan ini, di
mana syarikat yang saya pimpin secara teknikalnya mampu menerbitkan
buku-buku terjemahan, tetapi buat masa ini seluruh sumber kewangan
syarikat yang ada terpaksa ditumpukan kepada penerbitan karya-karya asli
sahaja, yang jumlahnya pun banyak sekali.
Dukungan Kerajaan kepada Industri Buku
Perlu
diingat, sokongan kerajaan negara kita bagi aktiviti penerbitan buku
tidak ada. Perbadanan Pembangunan Industri Kecil dan Sederhana (SMIDEC)
tidak memasukkan aktiviti penerbitan dalam senarai aktiviti yang layak
mendapat sokongan. Akibatnya penerbit tempatan seperti PTS dan
lain-lain, bergantung kepada sokongan bank di mana setiap ringgit
kemudahan yang diberikan oleh bank kepada penerbit tempatan memerlukan
cagaran minimum wang tunai yang sama nilainya.
Di
negara ini, semenjak 1996, perubahan pada dasar pendidikan kebangsaan
semakin tidak mendukung industri penerbitan buku Bahasa Melayu, meskipun
demikian industri ini dapat berkembang juga disebabkan permintaan
pasaran.
Potensi Pelaburan dalam Penerbitan Buku Terjemahan
Untuk
memahami potensi sumbangan buku-buku terjemahan kepada perkembangan
industri penerbitan buku, kita ambil kes yang mempunyai banyak persamaan
dengan negara kita, iaitu Taiwan. Penduduk negara Taiwan adalah 20 juta
orang, lebih kurang sama banyak dengan Malaysia.
Publisher's
Weekly melaporkan baru-baru ini, pada tahun 2000, Taiwan menerbitkan
38,000 judul bernilai US3.8 bilion. Daripada jumlah itu 8,000 adalah
judul buku terjemahan. Pada puratanya, setiap kedai buku di Taiwan
menjual 10,000 naskhah buku, 3,000 daripadanya adalah buku terjemahan.
Sumber
terjemahan paling besar di Taiwan adalah bahasa Jepun, iaitu
judul-judul komik diikuti oleh novel. Pengarang novel paling laris di
Taiwan adalah Murakami Haruki. Novel-novel beliau diterjemahkan ke dalam
17 buah bahasa dan dijual di 39 buah negara. Murakami Haruki begitu
popular di Taiwan sehingga banyak kafe, restoran dan minuman buah-buahan
campuran menggunakan nama beliau, judul novelnya dan nama-nama watak
dalam novelnya sebagai pelaris, malah ada taman perumahan yang
menggunakan nama beliau.
Di
Taiwan, 50% daripada semua judul buku bacaan kanak-kanak adalah judul
terjemahan. Maklumat ini boleh dijadikan panduan kepada mana-mana
penerbit tempatan yang berminat memasuki pasaran buku terjemahan supaya
memberi perhatian kepada potensi buku kanak-kanak. Bagi tahun 2000 dan
20001, buku-buku Harry Porter menjadi bestsellers, mengalahkan
judul-judul karya tempatan di Taiwan. (Perkara yang sama berlaku di
Korea dan Jepun.)
Bagi
pasaran buku-buku bacaan dewasa, buku-buku terjemahan yang laris di
Taiwan adalah buku-buku akademik yang bersifat serius dan dibeli oleh
pembaca lelaki berpendidikan. Bagi tahun 2000 judul-judul paling laris
adalah:
- The Dilbert Principle, karya Scott Adams (laku 1 juta naskhah)
- The Third Way, karya Anthony Giddon.
- All Too Human, karya George Stephanapoulus.
- Building Wealth, karya Lester Thurow.
- E=MC2, karya David Bodanis.
- Galileo's Daughter, karya Dava Sobel.
- Longitude, karya David Sobel.
Antara
pengarang Barat yang karya mereka mendapat sambutan hangat di Taiwan
termasuklah Peter Singer, Micheal E. Porter, Peter Drucker, George
Soros, Charles Handy, John Nesbitt dan Steven Covey.
(Di
Jepun perkara yang sama berlaku di mana 50% daripada 100 judul buku
paling laris adalah terjemahan. Buku paling laris di Jepun bagi tahun
2001 adalah terjemahan Who Moved My Cheese oleh Spencer Johnson.)
Di
Taiwan, lima buah penerbit buku-buku terjemahan yang terbesar adalah DK
Company, Cambridge and Larousse, Polo Press, Commonwealth Publishing
Co., dan Thinking Tree. Syarikat Thinking Tree mengambil masa 3 tahun
sahaja bagi melonjak naik dan masuk ke dalam senarai 5 penerbit terbesar
negara itu dengan menumpukan aktivitinya kepada terjemahan buku
akademik yang serius.
Purata
setiap rakyat Taiwan bagi membeli bahan bacaan sebanyak US118 (RM450)
setahun. Buku-buku yang terbitkan dan dicetak Taiwan dieksport ke Hong
Kong, Malaysia dan Singapura. Bagi setiap 6 buah buku yang dijual di
Taiwan, sebuah dijual di Hong Kong. Pada masa ini, maklumat yang kita
peroleh menunjukkan, penerbit yang paling banyak menanggung kerugian
akibat aktiviti cetak rompak di Malaysia adalah penerbit-penerbit
Taiwan. Buku-buku dalam bahasa Cina paling banyak dicetak rompak dan
dijual dengan harga murah. Sektor pasaran buku, majalah dan akhbar yang
paling besar di negara ini adalah juga sektor bahasa Cina.
Sumbangan Terjemahan kepada Peluasan Peluang Pekerjaan Profesional dalam Bidang Perbukuan
Berdasarkan
maklumat dari Taiwan, kita boleh membuat anggaran jumlah pekerjaan
profesional yang dicipta oleh aktiviti penerbitan buku-buku terjemahan
di negara itu.
(a)
Kalau seorang penterjemah dapat menterjemahkan 8 judul setahun,
sekurang-kurangnya 1,000 orang penterjemah sepenuh masa diperlukan bagi
menerbitkan 8,000 judul setahun.
(b) Kalau seorang editor mengedit 20 judul setahun, 400 editor diperlukan.
(c) Kalau seorang artis kulit buku menghasilkan 30 buah kulit setahun, 266 artis diperlukan.
(d) Kalau seorang artis layout buku menghasilkan 40 buah manuskrip setahun, 200 orang diperlukan.
Ini
bermakna, bagi kerja-kerja profesional pracetak sahaja, Taiwan mencipta
1,866 jumlah pekerjaan untuk menerbitkan 8,000 judul buku terjemahan
pada tahun 2,000 yang lalu. Anggaran ini tidak memasukkan peluang
pekerjaan dalam sektor sokongan dan hiliran.
Penutup
Untuk memahami implikasi aktiviti penerbitan buku terjemahan ke atas ekonomi sesebuah negara, kita ambil kes negara jiran kita.
Filipina
adalah pengimport buku-buku dalam bahasa Inggeris yang terbesar
disebabkan keperluan dasar pendidikan negara itu yang menggunakan bahasa
Inggeris sebagai bahasa pengantar. Import kertas dikenakan cukai oleh
kerajaan Filipina manakala buku-buku import tidak dikenakan cukai. Ini
menyebabkan kos mencetak buku-buku terbitan tempatan menjadi mahal.
Filipina mengalami kerugian kos membeli buku-buku import, pelepasan
cukai, peluang pekerjaan dan ekonomi perbukuan yang kecil.
Kerugian
daripada sudut pendidikan adalah lebih serius disebabkan bahasa
Inggeris tidak dapat menyampaikan ilmu pengetahuan moden kepada
kanak-kanak yang ibu bapa mereka tidak bertutur dalam bahasa Inggeris di
rumah iaitu keluarga miskin dalam bandar dan penduduk luar bandar.
AINON MOHD. adalah pengerusi PTS Publications & Distributors Sdn Bhd
Sumber: Berita PTS