Orang Gujarati Malaysia

Orang Gujarati Malaysia adalah mereka yang berketurunan sepenuhnya dari Gujarat atau yang separuhnya dari orang yang bermigrasi dari Gujarat ke Malaysia. 

Masyarakat Gujarat sebenarnya dikenali di Kesultanan Melayu Melaka sejak abad ke-14 masihi lagi di mana mereka berdagang rempah ratus di situ. Namun, sejak abad ke-19 masihi, beberapa kelompok daripada komuniti Gujarat didapati telah menetap di Malaysia dan memegang kewarganegaraan Malaysia. Kebanyakan orang Gujarat bekerja sebagai peniaga dan mereka umumnya berasal dari kawasan pelabuhan seperti Cambay, Kutch dan Surat di India. Mereka menetap di kawasan bandar di British Malaya semasa zaman penjajahan British seperti di Georgetown, Kuala Lumpur dan di Ipoh.

Sejarah Orang Gujarati di Malaysia

Orang Gujarati merupakan antara migran terawal dari benua kecil India. Mereka dipercayai mendarat di pantai-pantai di kepulauan Melayu semasa zaman Parameswara membuka kota Melaka. Mereka tinggal di pelabuhan dan berniaga di atas kapal-kapal yang belayar pergi dan balik antara benua kecil India dan Semenanjung Tanah Melayu berjual beli rempah dan tekstil.

Ketibaan orang Gujarati di Penang dipercayai berlaku pada abad ke-19 masihi. Penutur bahasa Gujarati pertama yang tiba di Penang adalah golongan migran Parsi, yang kini hanya satu keluarga sahaja tinggal di Penang. Orang Gujarati Muslim yang terdiri daripada kelompok Bohra, Khoja dan lain-lain juga tiba di pada lewat abad ke-19 masihi lalu membentuk komuniti perniagaan dan perusahaan terbesar di Penang. Dewan Perdagangan India juga sebenarnya diasaskan oleh golongan Bohra Gujarat.

Selepas Melaka kehilangans serinya sebagai pusat perniagaan, orang Gujarati Hindu di Melaka berpindah ke Penang dan membuka perniagaan di sana. Kumpulan orang Gujarati ini berasal dari kota pelabuhan seperti Cambay, Kutch dan Surat di negeri Gujarat, India. Orang Gujarat Jain tiba di Penang seawal tahun 1900an dan perniagaan mereka dibangunkan di situ pada tahun 1910.

Orang Gujarati dikenali sebagai "raja tekstil" dan ramai dalam kalangan mereka mengukir nama dalam perniagaan teksil. Selain itu, mereka juga mengimport dan mengeksport rempah ratus dan barangan dari India. Perniagaan orang Gujarati mempunyai jaringan antara Singapura dan Semenanjung Malaysia. Mereka berurusan dengan komoditi, termasuklah kayu-kayan, produk sawit dan bijirin yang berharga.

Sumber rujukan mengenai orang India Utara boleh juga diperolehi dari laman web, "Penang Tourism" berjudul "The North Indians - Rediscovering Roots in Penang" bertarikh 12 September 2023.