Orang Punjabi Malaysia

Orang Punjabi Malaysia adalah orang berketurunan sepenuhnya Punjabi atau separa Punjabi yang dilahirkan di Malaysia atau berketurunan daripada orang Punjabi yang bermigrasi ke Malaysia. Mereka berasal dari negeri Punjab yang terbahagi kepada negara India dan negara Pakistan.

Migrasi orang Punjabi ke Malaysia bermula pada abad ke-19 masihi dari British India ke British Malaya. Komuniti Punjabi Malaysia kini berjumlah melebihi 100,000 orang yang majoritinya menganuti agama Sikh walaupun terdapat juga sebilangan dalam kalangan mereka yang menganuti agama Islam, Hindu dan Kristian. Orang Punjabi Malaysia membentuk diaspora Punjabi terbesar di Asia Tenggara manakala di Malaysia pula orang Punjabi menjadi etnik India atau Asia Selatan terbesar selepas etnik Tamil, Malayali dan Telugu.

Migrasi ke Semenanjung Tanah Melayu

Orang Punjabi dibawa masuk ke Malaysia pada pertengahan abad ke-19 masihi apabila kedua-dua benua kecil India dan Malaya berada di bawah pentadbiran penjajah British. Orang Punjabi terawal yang tiba di empayar British di sini termasuklah tahanan politik dari British India dan anggota yang direkrut oleh British untuk berkhidmat dengan paramilitari dan polis di Semenanjung dan Sabah berikutan penjatian mereka sebagai bangsa kesatria di benua kecil India.

Kebanyakan migran yang tiba di Malaya dan Sabah terdiri daripada lelaki Sikh yang seterusnya mengasaskan perkumpulan masyarakat Sikh di Malaysia. Selepas menyelesaikan perkhidmatan mereka, ramai orang Punjabi kembali semula ke India. Mereka yang beragama Islam dan menetap di Malaya kemudian berkahwin dengan wanita Melayu lalu diserap masuk ke dalam masyarakat Melayu. Pelebaran komuniti Punjabi di Malaysia dalam gelombang kedua migran Punjabi ini terdiri daripada golongan kontraktor di ladang sawit, pedagang, peniaga, guru, peguam dan pengusaha perkhidmatan pengangkutan.

Demografi Kependudukan

Dalam banci pada tahun 1947, populasi Punjabi di Malaya berjumlah 30,592 orang. Mereka menjadi kelompok etnik terbesar dari bahagian India Utara yang menetap di Malaya. Pada tahun 1990an, mereka berjumlah antara 30,000 ke 60,000 orang.

Pada hari ini, populasi mereka mencapai seramai 100,000 orang. Orang Punjabi dianggap mempunyai perwakilan yang agak baik dalam pelbagai lapisan ekonomi di Malaysia. Hal ini kerana ramai dalam kalangan mereka menjadi golongan profesional, ahli akademik, berkhidmat dalam perkhidmatan awam dan menjadi pedagang atau terlibat dalam perniagaan pinjaman wang.

Di samping itu, Parti Punjabi Malaysia (PPM) dibentuk pada tahun 1986 dan didaftarkan menjadi pertubuhan rasmi pada tahun 2003 bagi mewakili faedah politik orang Punjabi sebagai warganegara Malaysia khususnya dari komuniti Sikh.

Orang Punjabi Malaysia banyak sekali bertumpu di bandar-bandar di Lembah Klang, Perak dan Penang.