Orang Sindhi Malaysia

Orang Sindhi Malaysia ini merujuk kepada orang Sindhi yang memegang kewarganegaraan Malaysia. Ramai orang Sindhi tiba di Malaya pada lewat tahun 1940an iaitu pada zaman penjajahan British. Mereka majoritinya menjadi pedagang tekstil. Sehingga hari ini, sekitar 250 keluarga atau 1,300 orang Sindhi menetap di Malaysia terutamanya di Lembah Klang, Ipoh, Georgetown di Penang, Kota Bharu di Kelantan dan di Kuching, Serawak.

Sejarah Orang Sindhi di Malaysia

Orang Sindhi berasal dari negeri Sindh yang kini sebenarnya terletak di dalam Republik Pakistan. Keluarga Sindhi yang terawal sekali tiba di Semenanjung Tanah Melayu adalah pada tahun 1800an. Ramai juga yang masuk ke Semenanjung melalui Singapura dan Indonesia kerana perniagaan mereka berkembang juga ke Semenanjung.

Rekod menunjukkan bahawa perniagaan orang Sindhi terawal sekali dibangunkan adalah di Beach Street di Penang pada tahun 1860 oleh keluarga Surtani yang kini menukar nama keluarga mereka kepada Hassaram. Pada tahun 1920an, ramai lagi keluarga Sindhi bermigrasi ke Penang dan memulakan perniagaan di Beach Street dan Bishop Street.

Sebelum pemecahan India kepada Republik India dan Republik Pakistan pada tahun 1947, sedikit sekali keluarga Sindhi yang tinggal di Penang. Namun, selepas pemecahan tersebut, migrasi orang Sindhi berjalan dengan lebih pesat lagi kerana orang Sindhi yang menganuti agama Hindu kehilangan tanah air mereka. Ramai orang Sindhi terpaksa keluar dari negeri Sindh menuju ke India dan ramai juga yang bermigrasi ke negara lain di seluruh dunia. Orang Sindhi terlibat dalam perniagaan runcit dan memborong barangan seperti tekstil dan mempunyai jaringan perniagaan yang baik di seluruh Asia Tenggara dan seluruh dunia kerana perhubungan mereka dengan orang Sindhi seberang laut yang lain.