Orang Tamil Malaysia merujuk kepada orang yang sepenuhnya berketurunan Tamil atau separa Tamil yang dilahirkan atau keturunan dari orang Tamil yang berhijrah ke Malaysia dari Tamil Nadu di India selatan dan rantau Tamil di timur laut Sri Lanka.
Sebanyak 80% daripada jumlah 1.8 ke 2 juta orang India di Malaysia adalah berbangsa Tamil yang berasal dari Tamil Nadu dan Sri Lanka. Sejumlah besar daripada migrasi orang Tamil di Malaysia ini bermula pada zaman British India apabila Britain mempermudah migrasi pekerja dari India untuk bekerja di ladang yang dibuka oleh syarikat British di Malaya. Walau bagaimanapun, terdapat juga kelompok komuniti Tamil yang sudah wujud di Malaya sebelum penjajahan British di Malaya.
Zaman Purba
Hubungan Tanah Tamil dengan Semenanjung Tanah Melayu telah bermula sejak lebih daripada 2,000 tahun yang lalu. Syair Pattaninapalai mempunyai rujukan yang disebut sebagai "Kaalagam" untuk satu rantau yang kini terletak dalam Malaysia.
Sebelum zaman penjajahan Barat, kehadiran orang Tamil di kepulauan di Asia Tenggara jelas kelihatan terutamanya sejak zaman kerajaan Chola yang terkenal dari Selatan India yang menakluki empayar Srivijaya pada abad ke-11 masihi. Peter Bellwood dalam bukunya, "Prehistory of the Indo-Malaysian Archipelago" menyatakan bahawa dinasti Pallava dari benua Tamil menyebarkan kebudayaan dan tulisan mereka di luar dari benua kecil India.
Semenanjung Tanah Melayu didapati mempunyai pengaruh Tamil yang kuat pada abad ke-11 masihi di mana pedagang Tamil mempunyai dewan perniagaan yang didirikan di beberapa tempat. Masa pun berlalu dan orang Tamil dikenali sebagai bangsa pedagang di rantau Asia Pasifik. Walaupun kebanyakan imigran di Asia Tenggara berasimilasi dengan masyarakat Melayu yang menjadi majoriti di beberapa rantau di Semenanjung Tanah Melayu, namun beberapa komuniti seperti orang Cheti dari Melaka adalah merupakan saki baki kelompok dari orang Tamil yang tiba lebih awal daripada zaman penjajahan Barat di Semenanjung Tanah Melayu.
Zaman Penjajahan Barat
Semasa penjajahan British, Britain telah mempermudah migrasi pekerja India untuk bekerja di ladang-ladang milik syarikat British. Sejumlah besar migran dari India ini terdiri daripada etnik Tamil yang berasal dari Madras yang kini dikenali sebagai Tamil Nadu dalam empayar British.
Kebanyakan migran Tamil yang masuk ke Tanah Melayu ini menetap terus di Malaysia dan menjadi peniaga runcit atau pengusaha perniagaan kecil-kecilan. Selain itu, kerajaan British di Kepresidenan Madras di India turut membuang negeri Maruthu Pandiyar, seorang pejuang kemerdekaan Tamil bersama dengan keluarga dan 72 orang askar di Penang pada tahun 1802.
Zaman Perang Dunia II
Pada zaman ini, tentera Jepun menggunakan lebih daripada 120,000 orang Tamil sebagai buruh untuk membina landasan kereta api yang berjarak 415 km antara Siam dan Burma bagi memindahkan bekalan tentera. Dipercayai bahawa seramai 60,000 orang Tamil telah meninggal dunia dalam projek ini.
Walau bagaimanapun, kajian terbaru mendedahkan bahawa sebenarnya seramai 150,000 orang Tamil telah terbunuh semasa projek landasan kereta api Siam itu. Mereka menjadi mangsa patukan ular, serangga, penyakit seperti kolera, malaria, beri-beri, diseksa, dirogol, membunuh diri akibat tekanan dan sebagainya. Selain itu, tentera Jepun telah membunuh orang Tamil setiap hari dalam usaha untuk menghapuskan kolera. Beberapa kelompok orang Tamil juga meninggal dunia akibat tekanan kerja yang berat.
Kaedah lain untuk menghukum orang Tamil oleh tentera Jepun pula termasuklah membakar mereka bersama dengan keluarga mereka sehingga mati. Pegawai tentera Jepun akan menjemput kuli wanita Tamil dan menyuruh mereka menari sambil bertelanjang sebelum merogol mereka. Pegawai Jepun yang merogol beberapa orang wanita Tamil secara beramai-ramai di majlis minum-minum tentera Jepun sehingga mati. Seorang remaja perempuan Tamil berusia 19 tahun pernah dirogol oleh seorang tentera Jepun yang memaksa pula kuli Tamil lain supaya merogolnya dan menjadikannya sebagai satu jenaka. Gadis Tamil tersebut mati selepas dirodok dengan buluh.