Orang Telugu Malaysia

Orang Telugu Malaysia merujuk kepada orang Telugu yang ibu bapanya adalah berbangsa Telugu yang berwarganegara Malaysia atau salah seorang ibu bapanya berbangsa Telugu dan berwarganegara Malaysia atau berketurunan Telugu daripada migran yang bermigrasi dari Andhra Pradesh di India ke mana-mana rantau dalam Malaysia. Majoriti suku kaum Telugu di Malaysia ini berasal dari migran yang datang dari Kepresidenan Madras semasa zaman penjajahan British.

Dari segi sejarahnya, kebanyakan orang Telugu Malaysia berasal dari Visakhapatnam, Vizianagaram dan Srikulam di negeri Andhra Pradesh. Baru-baru ini sahaja, terdapat migran India yang datang dari negeri Telengana, Orissa (dulu Kalinga), dan Bengal. Walaupun kebanyakan orang Telugu yang menjadi migran di Malaysia bekerja dalam sektor pertanian pada masa dulu, namun terdapat juga dalam kalangan mereka yang merupakan golongan profesional serta peniaga yang tiba di Malaya sebagai pelarian. Sebagai contoh, terdapat orang Telugu yang lari dari Burma pada tahun 1930an akibat rusuhan anti-India dan semasa penaklukan Jepun di Burma ketika Perang Dunia II. Mereka sama ada datang ke Malaya atau kembali semula ke India. 

Dalam kalangan bangsa India Malaysia, orang Telugu membentuk minoriti yang mana identiti mereka diserap oleh bangsa India yang lebih besar iaitu orang Tamil sehingga majoriti orang Telugu kini berbahasa Tamil sahaja. Baru-baru ini saja muncul kesedaran mengenai kepentingan bahasa Telugu dan kebudayaan Telugu sebagai identiti ibunda mereka.

Sejarah Orang Telugu di Malaysia

Orang Telugu tiba bersama-sama dengan etnik India lain pada zaman purba dari Pantai Timur India dan Teluk Bengal di pantai-pantai di Suvarnabhumi. Suvarnabhumi merujuk kepada daratan Asia Tenggara yang di dalamnya termasuklah Burma, Siam dan Semenanjung Tanah Melayu.

Orang India purba dari lembangan Godavari tiba di Semenanjung Tanah Melayu purba untuk berniaga dan ada dalam kalangan mereka yang berkahwin dengan penduduk tempatan sehingga pertukaran dari segi kebudayaan serta adat istiadat. Sejarah Melayu menyebut India sebagai benua Keling dan orang dari India sebagai orang Keling berkemungkinan merujuk kepada kerajaan Kalinga, sebuah kerajaan purba yang menurut beberapa sumber telah mempengaruhi banyak rantau di Asia Tenggara. Kalinga ini terletak di utara negeri Andhra Pradesh dan merangkumi juga selatan negeri Orissa yang mana penduduk di situ berbahasa Telugu atau Oriya.   

Populasi orang Telugu di Malaysia kini adalah merupakan keturunan ketiga atau keempat migran Telugu yang datang dari British India sebagai buruh mengikut Sistem Kangani pada lewat abad ke-19 dan awal abad ke-20 masihi. Sesetengah migran tersebut membayar kepada Sistem Kangani untuk berpindah ke Malaysia pada awal abad ke-20 masihi. Kebanyakan orang Telugu yang datang ke Malaysia semasa zaman penjajahan ini berasal dari pantai utara Andhra Pradesh, biasanya direkrut oleh maistries atau kangani yang merupakan mandur dari Visakhapatnam, Vizianagaram dan Srikulam serta sedikit daripada Godavari Timur dan Chittoor.

Migran pada zaman British ini berkongsi kampung yang sama, berhubungan kekeluargaan dan datang dari kasta yang sama. Kebanyakan mereka juga berasal dari masyarakat Hindu berkasta pertengahan dan berkasta rendah seperti Kamma, Reddy, Gavara, Kapu atau Telaga, Velama, Chakali dan Mangali.

Pusat merekrut buruh lain adalah di Nagapattinam di negeri Tamil Nadu. Tatkala migran India pada zaman awalnya didominasi oleh lelaki, ramai juga lelaki Telugu yang membawa wanita bersama dengan mereka. Mereka tiba di Penang dan menetap di Bagan Datoh, Perak sebelum bertebaran di seluruh Semenanjung Tanah Melayu. Biasanya mereka boleh ditemui di ladang getah atau kelapa di Telok Anson (kini Teluk Intan) di Perak, Johor atau di Kedah. Bagan Datoh di Perak menjadi pusat sejarah penting bagi warga Malaysia dari suku kaum Telugu kerana kebanyakan aktiviti kebudayaan mereka dijalankan di Kuil Sri Venkateswara. Kawasan lain yang menjadi tumpuan populasi orang Telugu adalah di Lumut, Perak dan Rawang, Selangor.

Oleh kerana suku kaum Telugu adalah suku kaum minoriti dalam bangsa India di British Malaya, dengan suku kaum Tamil menjadi suku kaum majoriti maka mereka tidak begitu kelihatan dan identiti mereka tenggelam dalam identiti orang India Selatan lain yang lebih majoriti. Orang Telugu bersama dengan orang Tamil dan Malaya dipanggil sebagai orang Keling oleh bangsa majoriti Melayu dan Madrasi oleh orang Inggeris atau orang India Utara suatu ketika dahulu. Pada tahun 1955, Malaya Andhra Sanghamu, telah ditubuhkan bagi menyokong suku kaum Telugu dalam memelihara budaya serta mempromosi bahasa mereka.