Pandangan Koresponden: Kesihatan Mental dan Hak Asasi Manusia

Prof. Datuk Dr Andrew Mohanraj, Presiden Pertubuhan Kesihatan Mental Malaysia dan Pengarah Kebajikan dan Kesihatan Mental di Impact Lab, Taylor's University menyatakan bahawa penyalahgunaan istilah kesihatan mental ini memang wujud dalam beberapa kes yang terpilih. Walau bagaimanapun, pengamal perubatan haruslah dilengkapi dengan kemahiran untuk menguruskan pemeriksaan keadaan kesihatan mental orang ramai. Menurut beliau:

  • Hak seseorang yang mengalami ketidakupayaan psikososial adalah termaktub dalam Perisytiharan Hak Asasi Manusia UN dan seterusnya di dalam Konvensyen Hak Orang Tidak Berkeupayaan (UNCRPD) yang telah diratifikasikan oleh Malaysia.
  • Banyak sekali tumpuan diberikan kepada usaha mengenalpasti tekanan di tempat kerja yang turut dipanjangkan ke universiti dan sekolah pasca pandemik Covid-19.
  • Setiap sistem itu terbuka kepada penyalahgunaan namun salah pula untuk mengenepikan dasar mesra kesihatan mental atau kelonggaran hanya kerana penyalahgunaan itu cuma satu kes yang minoriti sahaja. Langkah ke hadapan yang patut diambil adalah kita perlu memastikan terdapat mekanisme yang teguh disediakan bagi menghalang penyalahgunaan daripada berlaku.
  • Oleh itu, terdapat keperluan untuk menggalakkan peningkatan keupayaan pengamal perubatan umum (GP) untuk mengeluarkan cuti perubatan atas dasar keperluan kesihatan mental. Salah satu caranya adalah dengan memberikan latihan kepada GP seperti yang telah dibuat oleh Malaysian Society for Academic Psychiatry di mana mereka menyediakan program sijil untuk kesihatan mental kepada GP di Malaysia.
Sementara itu, Dr Subash Kumar, Konsultan Psikiatri dari Klinik Pakar Raintree juga sependapat dengan Prof Datuk Dr Andrew. Menurut beliau:
  • Tiada penyalahgunaan utama berlaku terhadap kesihatan mental tetapi beberapa kes yang agak kecil bilangannya boleh berlaku dalam bidang perubatan di mana mereka mengambil kesempatan untuk faedah mereka namun hal ini tidaklah eksklusif hanya kepada perkhidmatan kesihatan mental semata-mata.
  • Tidak mudah untuk seseorang itu memalsukan keadaan kesihatan mentalnya dalam cubaan untuk mengelakkan tanggungjawab kerana doktor dalam bidang kesihatan mental perlu melihat kepada simptom serta membuat rujukan untuk perbandingan dengan doktor lain bagi memastikan bahawa hasil pemeriksaan mereka adalah sama bagi penyakit yang tertentu.
  • Gen Z lebih mudah terdedah kepada isu kesihatan mental kerana beberapa sebab seperti pendigitalan kehidupan harian dan jangkaan tinggi yang dibebankan ke atas mereka dalam pendidikan atau lingkungan pekerjaan mereka.