Bahasa Tamil menjadi bahasa India yang utama dan lingua franca bagi populasi India di seluruh Malaysia. Hal ini terjadi kerana orang Tamil membentuk hampir 80% daripada populasi keseluruhan orang India di seluruh Malaysia. Bahasa Tamil juga mempunyai pegangan yang kukuh dalam sistem pendidikan, masyarakat dan politik orang India di Malaysia.
Bahasa Tamil diketahui ramai mewakili komuniti India di Malaysia khususnya komuniti India Selatan sehinggakan bahasa India lain termasuklah bahasa Malayalam dan bahasa Telugu kehilangan peluang untuk menyerlah sebagai medium dalam pendidikan, masyarakat, politik dan media. Bagi memastikan kesatuan masyarakat India Malaysia, maka orang Malayali dan orang Telugu bersetuju menggunakan bahasa Tamil sebagai bahasa yang mewakili orang India di Malaysia. Dalam masa yang sama, orang India Utara menentang idea ini dan menerima bahasa Punjabi sebagai bahasa yang mewakili komuniti India Utara di Malaysia.
Bahasa Tamil diterima pakai menjadi bahasa medium pendidikan di sekolah dan dijadikan subjek dalam peperiksaan awam di Malaysia walaupun populasi orang Punjabi di Malaysia adalah kira-kira 2/3 daripada populasi orang Malayali di Malaysia.