Setakat ini aku mendapati bahawa dalam banyak-banyak universiti di Malaysia, hanya Universiti Malaya (UM) sahaja yang menawarkan Pengajian India kepada mereka yang berminat. Ia ditawarkan melalui Jabatan Pengajian Indian atau Department of India Studies (DIS) yang merupakan salah satu daripada jabatan tertua di UM.
Jabatan ini menumpukan kepada aktiviti pengajaran dan pembelajaran, penerbitan, penyelidikan, perkhidmatan konsultasi kepada komuniti dan pembinaan negara sejak penubuhannya pada tahun 1956 di bawah Fakulti Kemanusiaan dan Sains Sosial, UM di Kuala Lumpur.
Sepanjang perjalanannya, DIS telah mengalami pelbagai evolusi selaras dengan Transformasi Pendidikan Negara. Hal ini termasuklah kaedah pembelajaran dan pengajaran berasaskan kaedah abad ke-21 seperti ruang pembelajaran futuristik bagi mencetuskan pembelajaran imersif yang didasarkan kepada pengalaman. Kursus yang ditawarkan di DIS direka bagi memberi peluang kepada mahasiswa untuk meneruskan kerjaya dalam bidang yang sesuai di kedua-dua sektor awam dan sektor swasta. Mahasiswa berpeluang memulakan kerjaya di agensi kerajaan seperti di Kementerian Penerangan, Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Kementerian Dalam Negeri (KDN), Kementerian Luar Negeri (KLN), Kementerian Kebudayaan dan Masyarakat (Negeri dan Persekutuan), Kementerian Beliau dan Sukan, Kementerian Pendidikan, Kementerian Pertanian, dan lain-lain.
Kekuatan utama bagi program Ijazah Sarjana Muda Kesusasteraan Pengajian India ini terletak pada kepakaran dan warisan ilmu yang terkandung dalam subjek di bawah Pengajian Tamil dan Pengajian India. DIS menekankan penguasaan aspek kesusasteraan dari dulu sehingga kini dan dalam konteks media untuk keperluan semasa. Selain itu, DIS boleh melengkapkan pelajar dengan pengetahuan agama dari India, aspek sosio-budaya dan sosio-ekonomi masyarakat India, pembangunan politik, ekonomi dan pentadbiran serta pencapaian orang India terutamanya di Malaysia.
Subjek di bawah Pengajian Tamil diajar sepenuhnya dalam bahasa Tamil manakala subjek Pengajian India diajar dalam bahasa Melayu dan bahasa Inggeris. DIS turut menawarkan peluang pembelajaran merentasi disiplin pengajian untuk melengkapkan mahasiswa dengan pelbagai kemahiran bagi membantu mereka dalam kerjaya pada masa hadapan. Maklumat lanjut berkenaan Jabatan Pengajian India di UM boleh didapati dalam laman web rasmi UM.