Pengalaman selepas Berijazah

Selepas aku menerima ijazah pada 13 September 2009 di Universiti Sains Malaysia (USM). Aku mula memikirkan apakah pekerjaan yang aku boleh mohon dengan ijazah dalam bidang kemanusiaan? Pada ketika itu, dasar pekerjaan negara lebih kepada menyediakan buruh dan menyentuh mengenai kepentingan sains dan matematik yang mana negara kononnya memerlukan saintis, jurutera dan juruteknik bagi memenuhi keperluan profesional dalam bidang pembuatan dan pembinaan.

A. Proses Permohonan Kerja 

Jadi, aku cuba memohon pelbagai jenis pekerjaan seperti pekerjaan menjadi penterjemah di syarikat komik berbahasa Cina. Namun, aku tidak pergi ke temuduga kerana ibu aku tidak bersetuju aku bekerja di syarikat komik dan menganggap bahawa pekerjaan sebegitu sebagai mengarut. Pada ketika itu, aku tidak memohon sebarang pekerjaan dengan agensi kerajaan kerana aku mempunyai persepsi negatif terhadap agensi kerajaan hasil dari momokan media dan desas-desus dari orang sekeliling mengenai pejawat awam. Aku hanya memberikan tumpuan kepada sektor swasta sahaja.

B. Kerja Sambilan: Stringer

Kemudian, aku menerima cadangan dari arwah bapa aku mengenai pekerjaan sebagai wartawan sambilan yang disebut sebagai stringer. Arwah bapa aku pernah bekerja di syarikat akhbar, The News Straits Times cawangan berita bahasa Melayu yang dikenali sebagai, Berita Harian di Jalan Riong, Kuala Lumpur. Memandangkan pada ketika itu kesihatan arwah bapa aku kurang baik, maka aku juga merasakan ada baiknya aku bersama dengan beliau memberikan sokongan moral.

Arwah bapa aku sebenarnya kurang selesa hendak bertemu dengan rakan beliau yang menjadi Pengurus di Berita Harian (BH) tetapi beliau tetap membawa aku ke sana bagi memperkenal aku kepada pekerjaan beliau serta akibat desakan oleh ibu aku. Aku tidak menerima sebarang tawaran pekerjaan pun tetapi selepas itu arwah bapa aku bertemu dengan seorang rakan beliau bernama Puan Salbiah Ani, Penyunting di Meja Seni Bebas. Puan Salbiah bermurah hati menawarkan aku kerja sambilan menjadi stringer untuk meja beliau. 

Tugasan sebagai stringer ini adalah aku membekalkan berita mengenai kegiatan seni di sekitar Kuala Lumpur seperti persidangan akhbar untuk galeri lukisan oleh seniman tempatan dan asing serta menulis sinopsis dan penilaian untuk novel berbahasa Melayu. Bayaran dari penulisan yang dibekalkan kepada Meja Seni Bebas, BH itu agak lumayan juga. Aku meneruskan kerja sambilan tersebut sehingga bulan Ogos 2010 dan seterusnya aku terputus hubungan dengan Puan Salbiah. Puan Salbiah telah pun meninggal dunia tetapi aku tidak ingat pada tahun bila.

C. Permohonan Sambung Pengajian Pasca Siswazah 

Dalam masa yang sama, aku menerima idea dari rakan sepengajian aku yang ketika itu telah mengambil biasiswa My Brain yang dipromosikan oleh pentadbiran Dato' Seri Najib Tun Razak, Perdana Menteri Malaysia ke-6 yang katanya menggalakkan mahasiswa ijazah sarjana muda melanjutkan pengajian di peringkat sarjana pula. Ketika itu, rakan aku itu mengambil kursus pasca siswazah, Ijazah Sarjana dalam Pengajian Diplomasi dan Antarabangsa dengan major Pentadbiran Kesatuan Eropah dan beliau juga belajar satu lagi bahasa asing, iaitu bahasa Sepanyol sebagai tambahan. Aku meminta penjelasan lanjut dari beliau dan juga butiran yang diperlukan kerana aku berminat serta masih belum dapat menentukan hala tuju kehidupan aku lagi. 

Aku membuat permohonan untuk menyambung pengajian di kursus yang sama dengan rakan sepengajian aku selepas berfikir selama beberapa hari. Punca aku berfikir untuk menyambung pengajian pasca siswazah itu adalah kerana aku ingin menambah nilai ijazah sarjana muda aku kerana aku merasakan bidang pengajian yang aku pelajari semasa ijazah sarjana muda itu tidak mencukupi untuk melayakkan aku untuk bekerja di organisasi antarabangsa atau agensi kerajaan. 

Banyak sekali cabaran ketika aku ingin menyambung pengajian kerana aku tidak jelas mengenai permohonan My Brain jadi aku menggunakan dana biaya sendiri. Aku terpaksa meminjam wang ibu aku sebanyak RM 2,000.00 untuk membayar yuran awal dan beliau mengungkitnya sehingga aku selesai belajar di peringkat pasca siswazah kerana beliau menggadaikan barang kemas beliau untuk memberikan wang kepada aku menyambung pengajian. Selepas itu aku membayar yuran pengajian dan asrama dengan menggunakan wang simpanan aku sendiri atau dari bantuan kewangan oleh arwah bapa aku.

Mod pengajian aku itu adalah sepenuh masa (campuran) dan bukan separuh masa. Di sini aku telah membuat kesilapan kerana aku sepatutnya membuat permohonan kerja sambilan atau kontrak di mana-mana agensi kerajaan dan menyambung pengajian pasca siswazah secara separuh masa (penyelidikan) sahaja tetapi disebabkan oleh aku tidak mempunyai maklumat yang mencukupi maka aku tidak mengetahui laluan ke arah kerjaya yang betul selepas menamatkan pengajian.