Pengenalan Definisi Bahasa

Perkataan bahasa ini kadang kala digunakan bagi merujuk kepada kod, sifir, dan sistem komunikasi buatan seperti yang didefinisikan secara rasmi sebagai bahasa komputer yang digunakan untuk memprogramkan komputer. Tidak seperti bahasa manusia yang konvensional, bahasa komputer adalah bahasa rasmi dari segi sistem isyarat untuk mengekodkan dan menyahkodkan maklumat. Walau bagaimanapun, rencana ini menekankan dengan lebih khusus lagi kepada elemen bahasa manusia yang semulajadi seperti yang dipelajari dalam bidang linguistik.

Bahasa sebagai bahan pengajian linguistik mempunyai dua maksud asas iaitu konsep yang abstrak dan sistem linguistik khusus sebagai contoh "bahasa Perancis". Ferdinand de Saussure, seorang ahli linguistik dari Switzerland mendefinisikan disiplin linguistik moden. Pertama sekali, beliau secara tersurat memformulasikan perbezaan perkataan language dalam bahasa Perancis untuk merujuk konsep, manakala langue pula khusus untuk merujuk kepada sistem bahasa serta parole bagi merujuk penggunaan konkrit ucapan dalam sesuatu bahasa.

Apabila berbicara mengenai bahasa sebagai konsep umum, definisi boleh digunakan untuk memberi penekanan kepada aspek berbeza bagi fenomena. Definisi ini terdiri daripada pelbagai pendekatan dan pemahaman mengenai bahasa, memaklumi dan juga merupakan aliran teori linguistik yang saling bertentangan antara satu sama lain.

Perdebatan mengenai ciri dan asal usul bahasa ini boleh dikesan sehingga ke zaman purba. Ahli falsafah Yunani seperti Gorgias dan Plato mendebatkan mengenai hubungan antara perkataan, konsep dan realiti. Gorgias menghujahkan bahawa bahasa tidak mewakili pengalaman objektif atau pengalaman manusia dan komunikasi serta kebenaran itu makanya adalah mustahil. Plato pula berpendirian bahawa komunikasi itu adalah mungkin kerana bahasa mewakili buah fikiran dan konsep yang wujud secara bebas pada bahasa atau sebelum kewujudan bahasa itu.

Semasa zaman Pencerahan dan perdebatannya mengenai asal usul manusia, spekulasi berkenaan asal usul bahasa pun turut bercambah subur. Pemikir seperti Rousseau dan Johann Gottfried Herder membahaskan bahawa bahasa itu muncul dalam ungkapan naluri dari emosi dan ia pada asalnya berhubungan rapat dengan muzik serta puisi berbanding dengan ungkapan logik atau pemikiran rasional.

Ahli falsafah rasionalis seperti Immanuel Kant dan Rene Descartes pula berpegang dengan pandangan yang berlawanan. Sekitar abad ke-20 masihi, para pemikir mulai tertanya-tanya mengenai peranan bahasa dalam membentuk pengalaman kita dalam melalui kehidupan di dunia. Mereka bertanyakan soalan seperti berikut:

  • Adakah bahasa itu semata-mata mencerminkan struktur objektif dunia? atau
  • Adakah bahasa mencetuskan konsep yang seterusnya menekapkan struktur pada pengalaman kita dalam dunia yang objektif?
Persoalan seperti di atas seterusnya membawa kita kepada persoalan sama ada masalah falsafah itu pada awalnya berasal dari masalah linguistik? Kemunculan pandangan bahawa bahasa itu memainkan peranan penting dalam penciptaan dan peredaran konsep serta pengajian falsafah ini menjadi topik perbincangan lanjut dalam pengajian bahasa. Ia dikaitkan dengan pusingan linguistik dan falsafah oleh ahli falsafah seperti Wittgenstein pada abad ke-20 masihi. Perdebatan mengenai hubungan bahasa dengan makna dan rujukan, proses mental (kognisi) dan kesedaran itu masih lagi kekal popular dalam kalangan mereka yang bergiat aktif dalam bidang bahasa serta falsafah.