5. DEFINISI PELABURAN
5.1 Pelaburan adalah pegangan dalam ekuiti dan instrumen kewangan. Walau bagaimanapun, simpanan tetap bagi tempoh tiga (3) bulan atau kurang dikategorikan di bawah wang tunai.
6. KLASIFIKASI PELABURAN
6.1 Pelaburan diklasifikasikan seperti berikut:
- Pelaburan Kumpulan Wang Amanah iaitu pelaburan yang dibuat dari kumpulan wang amanah yang mengikut kehendak surat ikatan amanah dan arahan amanah (Sek. 9 dan Sek. 10 Akta Tatacara Kewangan 1957 [Akta 61]) serta peraturan yang berkuat kuasa.
- Pelaburan Am iaitu semua pelaburan yang dibuat daripada lebihan wang tunai di bank.
6.2 Jenis pelaburan adalah seperti berikut:
- Sekuriti Kerajaan Luar Negeri iaitu pegangan dalam sekuriti yang dipegang oleh negara luar.
- Sekuriti Kerajaan Malaysia iaitu pegangan dalam sekuriti yang dipegang oleh kerajaan Malaysia.
- Saham iaitu pegangan dalam saham syarikat yang disenaraikan dalam Bursa Saham Malaysia, syarikat berkaitan kerajaan dan syarikat-syarikat lain mengikut kehendak Sek. 8(3) Akta Tatacara Kewangan 1957 [Akta 61] serta peraturan yang berkuatkuasa.
- Deposit Luar Negeri iaitu pegangan dalam deposit atau simpanan tetap di institusi kewangan luar negeri.
- Deposit Dalam Negeri iaitu pegangan dalam deposit atau simpanan tetap di institusi kewangan dalam negeri.
- Pelaburan Lain iaitu pelaburan dalam bentuk aset seperti emas atau tanah.