PKP Bahagian 7 - 9

7. DASAR DAN KAEDAH PERAKAUNAN

7.1 Kuasa Melabur

Pelaburan hendaklah dibuat mengikut kehendak Sek. 8(3) dan 8(4) Akta Tatacara Kewangan 1957 [Akta 61].

7.2 Perakaunan Pelaburan

7.2.1 Akaun Pelaburan

Perakaunan diakaunkan pada nilai buku atau kos sejarah. Nilai nominal dan pasaran sekiranya berkaitan juga didedahkan untuk tujuan perbandingan. Pelaburan yang dibiayai melalui akaun wang tunai diakaunkan ke buku pelaburan dan ditunjukkan di Penyata Kewangan Kerajaan. Kos Pelaburan dipertanggungkan ke perbelanjaan pembangunan atau akaun amanah pelaburan dan dilaporkan dalam Akaun Memorandum Pelaburan.

7.2.2 Terima Faedah, Keuntungan, Dividen, Terbitan, Bonus, Terbitan Hak, Terbitan Waran, Stok Pinjaman dan Pulangan Pelaburan Lain

(a) Pulangan pelaburan yang diterima dalam bentuk tunai hendaklah dikreditkan ke Akaun Hasil Disatukan kecuali disyaratkan dalam mana-mana undang-undang, surat ikatan amanah dan arahan amanah.

(b) Terbitan saham bonus yang diterima hendaklah diagregatkan untuk mendapatkan nilai sesaham. Nilai purata kos sesaham ditentukan dengan membahagi jumlah kos asal dengan jumlah kos saham selepas terbitan bonus.

(c) Terbitan Hak, Terbitan Waran dan Stok Pinjaman

(i) Terbitan hak, terbitan waran dan stok pinjaman yang ditawar dan diterima hendaklah dipertanggungkan kepada perbelanjaan mengurus atau perbelanjaan pembangunan atau akaun amanh pelaburan dan dilaporkan di dalam Penyata Akaun Memorandum Pelaburan.

(ii) Terbitan hak, terbitan waran dan stok pinjaman yang diterima dan dibiayai melalui lebihan Kumpulan Wang Disatukan hendaklah diakaunkan ke akaun pelaburan.

(iii) Terbitan hak, terbitan waran dan stok pinjaman yang dijual hendaklah dikreditkan ke Akaun Hasil Disatukan kecuali disyaratkan dalam mana-mana undang-undang, surat ikatan amanah dan arahan amanah.

7.2.3. Terimaan Dari Keuntungan Deposit Yang Matang dan Keuntungan Penjualan Saham Atau Pelaburan Aset

Terimaan dari keuntungan deposit yang matang dan penjualan saham atau pelaburan aset hendaklah diakaunkan ke Akaun Hasil Disatukan kecuali disyaratkan dalam mana-mana undang-undang, surat ikatan amanah dan arahan amanah.

7.2.4 Penutupan Akaun Akhir Tahun 

Baki akaun pelaburan pada akhir tahun kewangan akan dibawa ke akaun tahun kewangan berikutnya.

8. PERSEMBAHAN DALAM PENYATA KEWANGAN

8.1 Penyata  Kedudukan  Kewangan

Pelaburan  ditunjukkan  sebagai  satu  butiran  berasingan  di  bawah  Wang  Awam  dalam  Penyata  Kedudukan  Kewangan.  Amaun  tahun  sebelumnya  hendaklah  dinyatakan  sebagai  angka  perbandingan.

8.2 Penyata Akaun Memorandum

Pelaburan ditunjukkan sebagai satu butiran berasingan di bawah Memorandum  Aset  dalam  Penyata  Akaun  Memorandum.  Penyata  Akaun  Memorandum  Pelaburan  dijelaskan  dalam  Nota  Kepada  Penyata  Kewangan. 

9. TARIKH KUAT KUASA

Tarikh kuat kuasa piawaian ini bermula dengan tahun kewangan 2012.