Sebelum Sebelum Perang Dunia
Penduduk di Semenanjung Tanah Melayu mula menerima pengaruh dari Selatan India sejak abad ke-4 masihi lagi terutamanya melalui perdagangan. Walau bagaimanapun, ketibaan Alfonso de Albuquerque bersama dengan 800 orang tentera Portugis dan 600 orang tentera upahan Malabari dari Cochin semasa penaklukan kota Melaka pada 1511 menjadi petunjuk jelas mengenai ketibaan orang Malayali di Semenanjung Tanah Melayu.
Apabila Francis Light tiba di Penang dan mengasaskan Georgetown pada tahun 1786, banyak sekali bangunan dan jalan terkenal di sekitar bandar itu dibina oleh buruh tahanan dari Malabar. Oleh itu, migrasi buruh ini membawa kepada kewujudan kampung orang Malayali di situ seperti Kampung Kaka dan Kampung Malabar. Selain itu, ramai sekali pedagang Muslim di Penang pada ketika itu berasal dari Malabar, Kerala.
Zaman Pasca Perang Dunia
Orang Malayali di Malaysia boleh dibahagikan kepada tiga kelompok besar mengikut pekerjaan mereka. Majoriti daripada mereka ini adalah buruh Hindu dari Palakkad dan Kannur kerana kerajaan British India membuat keputusan untuk membawa buruh dari Kepresidenan Madras. Pada masa itu, kebanyakan bandar di Kepresidenan Madras dihubungkan dengan jalan, landasan kereta api dan pelabuhan jadi hal ini memudahkan buruh bergerak dalam empayar British. Sebelum kemerdekaan India, rantau Malabar adalah merupakan sebahagian daripada Kepresidenan Madras.
Sekitar tahun 1930an, ramai buruh Malayali bermigrasi ke Malaya untuk bekerja di ladang menerusi sistem Kangani. Kebanyakan buruh dari Palakkad datang dengan Kapal Rajula dari Madras manakala buruh dari pantai Malabar pula bermigrasi dari Pelabuhan Cannanore. Negeri Selat, Port Swettanham (kini Pelabuhan Kelang) dan Port Dickson menjadi pintu pelabuhan di mana orang Malayali mendarat di Malaya. Buruh Malayali dihantar bekerja di ladang di Padang Rengas, Sitiawan, Labu, Bahau dan seluruh kawasan Pantai Barat di Semenanjung Tanah Melayu.
Kebanyakan orang Malayali yang berpendidikan yang datang ke Malaya menganuti agama Hindu atau Kristian dari Cochin serta Travancore. Oleh kerana mereka berpendidikan serta memahami sedikit bahasa Tamil maka mereka dilantik menjadi kerani di ladang bagi memudahkan halangan komunikasi antara pengurus ladang dengan buruh.
Selain itu, kebanyakan penganut Islam dari rantau Malabar bermigrasi ke Malaya sebagai peniaga, ahli perniagaan dan pedagang. Mereka membuka restoran, kedai runcit serta kedai ubat atau farmasi. Dipercayai ramai sekali orang Islam Malabari bermigrasi ke Penang dan Melaka sebelum penjajahan British di Malaya. Di British Malaya, pedagang Malabari bergerak dari pelabuhan di Cannore dan Calicut ke Penang dan Melaka.