SEKTOR
penterjemahan buku di negara ini hakikatnya sangat kecil namun cabaran
dan masalah yang membelenggunya cukup besar sehingga memerlukan
perhatian serius banyak pihak. Itu yang boleh disimpulkan daripada
Seminar Pencinta Buku Malaysia 2010 yang dianjurkan oleh Institut
Terjemahan Negara Malaysia (ITNM), baru-baru ini.
Seminar
sehari bertemakan 'Memperkasakan Budaya Membaca Karya Terjemahan' itu
disertai oleh kalangan penulis, ahli akademik, penerbit dan khalayak
pembaca seramai hampir 100 orang. Membariskan muka-muka besar dalam
dunia kesusasteraan dan penulisan, seminar ini membuka banyak
permasalahan serta tidak kurang juga kepincangan dalam sektor
penterjemahan.
Antara
yang berkongsi pengalaman dan pandangan termasuk pensyarah Jabatan
Bahasa Asing, Fakulti Bahasa Moden Dan Komunikasi Universiti Putra
Malaysia (UPM), Dr. Syed Nurul Akla Syed Abdullah dan sasterawan
berbakat besar, Dr. Faisal Tehrani.
Pembentang
kertas kerja lain termasuk pensyarah Jabatan Asas Pendidikan dan
Kemanusiaan, Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya (UM), Rahimi Md Saad
dan Setiausaha Agung Komuniti Bukuonline, Khairusy Syakirin Has-yun
Hashim.
Turut
terlibat ialah Sarjana Utama, Fakulti Bahasa dan Komunikasi, Universiti
Pendidikan Sultan Idris, Prof. Emeritus Dr. Abdullah Hassan dan
sasterawan besar negara, Datuk Mohamed Nor Khalid atau Lat.
Dunia
penterjemahan mungkin tidak mempunyai pengikut yang ramai kerana
aktiviti membaca bukanlah sesuatu yang menjadi budaya dalam masyarakat
kita. Apabila buku tidak menjadi keutamaan, maka dunia penterjemahan
akan menerima nasib serupa kerana wadahnya juga adalah buku.
Tetapi
itu tidak bermakna ia perlu dipinggirkan kerana bagi yang menyedari,
aktiviti penterjemahan sebenarnya memberikan kesan yang mendalam kepada
sesebuah peradaban dan tamadun manusia.
Mengembangkan
aktiviti terjemahan bukan bermakna kita ketandusan karya dalam bahasa
ibunda. Sebaliknya ia penting dalam membuka dimensi pemikiran masyarakat
apabila dapat meneliti peradaban asing melalui karya yang
diterjemahkan.
Malah,
pembentang kertas kerja pada seminar ini juga mengakui bahawa mereka
sangat terpengaruh dan terkesan dengan karya-karya terjemahan yang
pernah dibaca.
Sebagai
contoh, Faisal Tehrani berkongsi pengalaman uniknya membaca buku
berjudul Cerita-Cerita Rakyat Parsi yang dipinjam dari sebuah
perpustakaan ketika berusia 10 tahun.
Karya terjemahan itu melekat dalam pemikiran dan hati beliau malah menjadi pedoman kepadanya untuk berkarya.
Dari
sudut lain, karya terjemahan mengembangkan keupayaan kita untuk
meneroka pemikiran dan perasaan manusia daripada masyarakat lain atau
mungkin masyarakat yang hidup pada zaman dan era lain.
Justeru,
terjemahan membolehkan kita hidup di luar daerah kebiasaan, pra
anggapan dan salah tanggapan kita. Perkara ini dikongsi oleh Syed
Nurulakla yang turut menekankan terjemahan memperluas dan memperdalam
dunia dan kesedaran kita dalam bentuk dan cara yang mampu dihuraikan
sepenuhnya.
''Terjemahan
juga memungkinkan seseorang penulis menemui khalayak pembaca yang lebih
ramai dan besar. Salah satu sebab mengapa penulis menghasilkan karya
adalah untuk memberi kesan dan menyampaikan pemikiran serta idea mereka
kepada seberapa ramai orang yang mungkin," katanya.
Sementara
itu Rahimi dan Khairusy Syakirin Has-yun dalam kertas kerja bersama
mereka menyelongkar dengan lebih mendalam permasalahan terjemahan dari
sudut daya tolak dan daya tarik.
Menurut
mereka, karya terjemahan menjadi pilihan kerana faktor bahasa yang mana
pembacaannya akan menjadi lebih cepat dan mudah kerana pembaca memahami
secara langsung apa yang dibaca.
Kadang
kala pemahaman mesej serta makna keseluruhan menjadi lebih cepat kerana
penterjemah telah menyesuaikan latar karya dengan latar bahasa sasaran.
Karya
terjemahan juga sering menjadi pilihan pembaca yang ingin mengulangi
pembacaan sesebuah karya yang sudah dibaca dalam bahasa asal. Keadaan
yang sama juga berlaku di kalangan peminat buku yang ingin mencari
kelainan atau perspektif baru bagi karya yang pernah dibaca dalam bahasa
asing.
Ini
kerana penterjemah juga kerap memasukkan perspektif mereka dalam proses
penterjemahan yang dilakukan. Dari sudut kewangan pula, karya
terjemahan lebih murah berbanding karya dalam bahasa asal mungkin
disebabkan faktor penerbitan yang juga murah.
Begitu
pun, pihak yang terlibat secara langsung dalam industri ini tidak wajar
melihat pulangan daripada pelaburan dalam memperbanyakkan karya
terjemahan hanya daripada aspek kuantitatif semata-mata.
Sebaliknya,
terjemahan wajar dilihat sebagai salah satu komponen penting dalam
proses pembangunan bangsa seperti yang telah dicatatkan oleh sejarah
pembangunan bangsa masa silam.
Daya
penolak di kalangan masyarakat pula seperti yang disebut Rahimi dan
Khairusy Syakirin Has-yun terdapat dalam karya itu sendiri. Tanggapan
bahawa karya terjemahan sebagai karya kelas kedua sering menjadikan
sebahagian pembaca berasa rendah diri untuk membacanya.
Tanggapan
sebegini akan terhapus sekiranya gerakan penterjemahan menjadi
sebahagian daripada agenda teras dalam pembangunan masyarakat serta
negara. Seperkara yang perlu ditekankan juga ialah kualiti terjemahan
yang mana ia merupakan daya tarikan utama untuk seseorang membaca karya
terjemahan.
Penterjemahan
yang berkualiti rendah akan menyebabkan pembaca berdepan kesulitan
untuk menanggapi isi karya yang dibaca. Ini akan menyebabkan mereka
cenderung untuk tidak meneruskan pembacaan atau membaca dalam bahasa
asal. Ini akan melemahkan gerakan terjemahan yang secara tidak langsung
menutup ruang bagi pembaca yang tidak menguasai pelbagai bahasa untuk
menikmati karya yang berkualiti tinggi.
Selain
isu-isu ini, seminar ini turut mendedahkan beberapa masalah lain dalam
berkaitan industri penterjemahan yang tidak ditanggapi dengan baik oleh
pihak penerbit buku. Antaranya kadar bayaran untuk penterjemah yang
tidak berpatutan, tempoh waktu untuk terjemahan sesebuah karya yang
terlalu singkat serta kecenderungan menukar reka bentuk kulit buku karya
asli kepada yang baru.
Pujian
harus diberikan kepada ITNM kerana penganjuran seminar seumpama ini,
mampu membuka mata banyak pihak dalam memainkan perana yang lebih adil
dan aktif dalam menyemarakkan industri penterjemahan negara. ITNM
sendiri selaku badan yang dipertanggungjawabkan untuk memperkaya
karya-karya penterjemahan perlu menjadi peneraju yang berkaliber dalam
usaha-usaha sebegini.
Ini
bagi memastikan karya-karya ulung dunia mampu diterjemah dengan baik
dan menarik lebih ramai penggiat karya terjemahan menceburi bidang ini.
Perlu diakui kita masih jauh ketinggalan dari aspek terjemahan karya
terkemuka dunia terutamanya kepada negara jiran kita Indonesia.
Kerana
itu bukanlah sesuatu yang menghairankan apabila banyak buku terjemahan
di pasaran ketika ini masih mempunyai nilai dan elemen bahasa Indonesia.
Ini disebabkan terjemahan karya asing itu diambil daripada terjemahan
ke bahasa Indonesia dan bukannya daripada bahasa asal menyebabkan
nilai-nilai asli karya itu telah tercemar.
Sumber: Utusan Malaysia