Teori Penterjemahan

Dalam kursus ini sama sahaja seperti kursus-kursus lain. Mereka mengajarkan pelajar mengenai teori-teori yang berkaitan dengan bidang utama dalam kursus itu. Kalau tak silap aku, pensyarah yang mengajar kursus ini adalah Assoc. Prof. Dr. Haslina Haroon. Aku tak pasti apakah teori yang perlu dipergunakan semasa melakukan penterjemahan namun aku mendapat tahu bahawa teori-teori terjemahan ini diambil dari Eropah Barat semasa zaman Renaissance.

Dalam pengenalan kepada kursus ini, kami dimaklumkan bahawa teori penterjemahan ini adalah salah satu cabang ilmu linguistik yang menghuraikan aspek-aspek dari bahasa, kebudayaan dan komunikasi yang berperanan dalam amalan-amalan penterjemahan.

Penterjemahan didefinisikan sebagai proses, "penyalinan semula maklumat dalam bahasa sumber ke dalam bahasa sasaran dalam bentuk persamaan yang terdekat atau sejadi. Pertama, dari segi makna dan kedua dari segi gaya bahasa".

Pada suatu masa dahulu, seseorang yang mengetahui dua bahasa sudah pun boleh dianggap sebagai penterjemah tanpa memerlukan pengetahuan lanjut. Pendapat itu kini berevolusi menjadi sesuatu yang ketinggalan zaman kerana pakar-pakar yang terlibat dalam bidang penterjemahan ini telah mencetuskan teori-teiru dan prinsip yang menjadi pedoman para penterjemah seterusnya. Seseorang yang ingin menjadi penterjemah yang baik kini perlu memenuhi empat syarat utama iaitu:
  • Menguasai bahasa sumber dengan baik;
  • Mengetahui bahasa sasaran iaitu menguasai bahasa sasaran dengan baik;
  • Mengetahui bidang yang diterjemahkan; dan
  • Mengetahui teori-teori dan amalan penterjemahan.
Berikut adalah pelopor-pelopor yang merintis teori-teori penterjemahan dari abad ke-15 M sehingga ke awal abad ke-18 M. Kebanyakan daripada mereka ini adalah orang Eropah Barat. Rantau-rantau lain pun sebenarnya menjalankan aktiviti penterjemahan cuma mereka tidak menggunakan bahasa Inggeris sedangkan kursus yang kami ambil ini adalah kursus yang menyasarkan bahasa Inggeris dengan bahasa sumbernya adalah bahasa Melayu versi Malaysia.
  • Etienne Dolet
  • Abraham Cowley dan John Dryden
  • George Campbell
  • Alexander Fraser Tyler
Buku yang digunakan sebagai rujukan asas untuk kursus ini berjudul, "Panduan Menterjemah" oleh Ainon Muhammad yang diterbitkan pada tahun 1994 oleh Dewan Bahasa dan Pustaka, Kementerian Pendidikan Malaysia.

Selain itu, kalau tidak silap aku terdapat juga kisah mengenai peri pentingnya ilmu penterjemahan ini dibentangkan kepada pelajar. Contohnya, kisah penterjemahan perkataan kabur makna yang salah membawa akibat buruk dengan temanya diberikan adalah dalam zaman Perang Dunia ke-II. Kisahnya boleh dibaca di sini.