Memaparkan catatan dengan label bahasa. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label bahasa. Papar semua catatan

Jumaat, 2 Oktober 2026

Menghayati Peranan Golongan Profesional Bahasa sempena Hari Penterjemahan Sedunia

Sorotan dalaman terhadap salah seorang jurubahasa PBB
yang sedang bertugas pada hari pembukaan Perbahasan Umum
Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.
Gambar oleh Loey Felipe (2009), PBB New York.

Dunia menyambut "Hari Penterjemahan Sedunia" yang jatuh pada 30 September setiap tahun ini bertujuan untuk memberikan penghormatan kepada usaha golongan profesional bahasa yang memainkan peranan penting dalam menyatukan negara dunia, mempermudah dialog, persefahaman dan kerjasama serta menyumbang kepada pembangunan dan pengukuhan keamanan serta keselamatan dunia.

Penterjemahan karya sastera atau saintifik termasuk karya teknikal daripada satu bahasa ke satu bahasa lain serta kerja penterjemahan profesional seperti penterjemahan, kejurubahasaan dan pengurusan istilah yang sewajarnya, adalah amat penting bagi mengekalkan kejelasan dalam penyampaian ilmu, suasana positif dan produktiviti dalam wacana antarabangsa serta komunikasi antara individu.

Justeru, Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah menerima pakai Resolusi 71/288 pada 24 Mei 2017 mengenai peranan golongan profesional bahasa dalam menghubungkan negara dunia serta memupuk keamanan, persefahaman dan pembangunan. Selanjutnya, ia mengisytiharkan 30 September sebagai "Hari Penterjemahan Sedunia".

Kenapakah tarikh 30 September dipilih sebagai "Hari Penterjemahan Sedunia"? Tarikh ini dipilih bersempena dengan perayaan Saint Jerome, seorang penterjemah kitab Injil yang dianggap sebagai wali keramat penaung bagi para penterjemah. Saint Jerome ialah seorang paderi dari timur laut Itali yang terkenal kerana usahanya menterjemahkan sebahagian besar kitab Injil daripada manuskrip Perjanjian Baru berbahasa Yunani ke dalam bahasa Latin. Selain itu, beliau juga menterjemahkan bahagian Taurat yang berbahasa Ibrani ke dalam bahasa Yunani. Beliau berketurunan Illyria dan bahasa ibunda beliau adalah bahasa Illyria. Beliau mempelajari bahasa Latin di sekolah serta fasih berbahasa Yunani dan berbahasa Ibrani yang dikuasai oleh beliau melalui pengembaraan. Saint Jerome meninggal dunia berhampiran Baitullaham pada 30 September 420 M.

Kepelbagaian Bahasa: Nilai Teras Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu

Bahasa, dengan implikasinya yang kompleks terhadap identiti, komunikasi, integrasi sosial, pendidikan dan pembangunan mempunyai kepentingan strategik bagi penduduk dunia dan bumi.

Wujud kesedaran yang semakin hari semakin meningkat bahawa bahasa memainkan peranan penting bukan saja dalam pembangunan, kepelbagaian budaya dan dialog antara budaya, tetapi juga dalam mencapai pendidikan berkualiti untuk semua, mengukuhkan kerjasama, membina masyarakat berilmu yang inklusif, memelihara warisan budaya serta menggembleng kehendak politik bagi memanfaatkan sains serta teknologi demi pembangunan mapan.

Sebagai faktor penting dalam komunikasi harmoni antara pelbagai bangsa, kepelbagaian bahasa turut dianggap oleh Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu sebagai nilai teras pertubuhan itu. Dengan memupuk semangat toleransi, penggunaan pelbagai bahasa memastikan penyertaan yang berkesan dan menyeluruh daripada semua pihak dalam urusan PBB. Di samping itu, ia meningkatkan lagi keberkesanan, prestasi dan ketelusan pertubuhan. 

Perkhidmatan Penterjemahan di PBB

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) merupakan salah satu majikan terbesar dunia bagi golongan profesional dalam bidang bahasa. Beratus-ratus kakitangan bahasa berkhidmat di pejabat PBB yang terletak di New York, Geneva, Vienna dan Nairobi atau di suruhanjaya serantau PBB di Addis Ababa, Bangkok, Beirut, Geneva dan Santiago. Penterjemah juga merupakan salah satu daripada kategori profesional bahasa bahasa yang diambil bekerja oleh PBB.

Golongan yang pakar di PBB termasuklah seperti berikut:

  • Pembantu penyuntingan dan penerbitan meja (desktop publishing);
  • Penyunting;
  • Jurubahasa;
  • Penulis ringkasan rasmi atau prĂ©cis-writers;
  • Penyunting pengeluaran dan pakar penerbitan meja;
  • Penterjemah; dan
  • Pelapor verbatim.     

Penterjemah PBB mengendalikan pelbagai jenis dokumen, bermula daripada kenyataan Negara Anggota sehinggalah kepada laporan yang disediakan oleh badan-badan pakar. Dokumen yang diterjemahkan mereka merangkumi setiap topik dalam agenda PBB termasuklah hak asasi manusia, keamanan dan keselamatan serta pembangunan. Isu-isu baru muncul setiap hari. Justeru, dokumen PBB dikeluarkan secara serentak dalam enam bahasa rasminya iaitu bahasa Arab, bahasa Cina, bahasa Perancis, bahasa Rusia dan bahasa Sepanyol. Sesetengah dokumen utama turut diterjemah ke dalam bahasa Jerman. Penghasilan dokumen dalam pelbagai bahasa ini dapat dilaksanakan hasil usaha penterjemah PBB yang bertanggungjawab menyampaikan kandungan teks asal ke dalam bahasa utama mereka dengan jelas dan tepat.

Berminat untuk berkhidmat sebagai pakar bahasa di PBB? Sila layari laman web UN Careers untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai peperiksaan kecekapan bagi golongan profesional bahasa.   

Selain itu, rencana ini diterjemahkan oleh aku daripada rencana, "The role of language professionals" dalam laman sesawang Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). 

Jumaat, 11 Julai 2014

Pengajian India


Penduduk berbangsa India di Malaysia atau warganegara Malaysia yang menjatikan diri mereka sebagai bangsa India adalah kelompok yang ketiga terbesar di Semenanjung Malaysia, selepas bangsa Melayu dan bangsa Cina dengan peratusan sebanyak 7% daripada populasi Malaysia. Kebanyakan daripada mereka ini adalah keturunan migran India yang berhijrah ke British Malaysia dari pertengahan abad ke-19 masihi sehingga ke pertengahan abad ke-20 masihi.
Sebelum aku bekerja lagi, aku sebenarnya telah bertembung dengan orang India jadi aku turut mengumpulkan maklumat mengenai orang India bagi kegunaan aku. Berikut adalah halaman yang aku pancangkan dahulu untuk rujukan.
Mohon sambung buat di sini. 

Pengajian Bahasa


Adakah anda bercakap dalam lebih daripada satu bahasa? Maksudnya di sini bukan bahasa Rojak yang telah pun mendarah daging di Malaysia tetapi bahasa yang betul bagi setiap satunya. Adakah anda berminat mempelajari mengenai bagaimana, bila dan di mana sesuatu bahasa itu muncul? Adakah anda berminat dengan pengaruh pelbagai bahasa yang menjadikan semua orang lebih rapat antara satu sama lain? Jika anda berminat dengan hal ini maka anda mungkin boleh mempertimbang untuk mendaftar dalam pengajian bahasa. 

Pengajian bahasa ini adalah merupakan salah satu daripada kursus seni tradisional yang memberikan anda pengetahuan berguna mengenai pelbagai bahasa seperti bahasa Inggeris, bahasa Perancis, bahasa Sepanyol, bahasa Jerman dan bahasa Russia.

Bahasa Inggeris sebagai contoh adalah salah satu daripada enam bahasa rasmi di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Selain itu, bahasa Inggeris menjadi bahasa perhubungan antarabangsa yang penting. Ia memudahkan komunikasi antara penduduk dunia yang bertutur dalam pelbagai bahasa. Selain itu, bahasa Inggeris menjadi bahasa perdagangan global, bahasa sains dan teknologi, bahasa diplomasi, bahasa pertubuhan antarabangsa dan pertukaran antarabangsa dalam bidang yang melibatkan komunikasi pelbagai hala.
Kredit untuk gambar hiasan di atas adalah milik laman web Surrey Translation Bureau, United Kingdom. Untuk maklumat tambahan, Surrey Translation Bureau, UK telah berpindah ke halaman Wessex Translations, UK.